suria

Malaysia Sah Penyertaan Temasya Sukan Dalam Dewan Dan Seni Mempertahankan Diri Asia Ke-4

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar kontinjen kecil ke Temasya Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia Keempat di Incheon, Korea Selatan dari 29 Jun hingga 6 Julai depan.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata pihaknya membuat keputusan untuk menghantar 63 atlet dan 25 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam tujuh daripada 12 acara yang dipertandingkan.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara muay, billiards, futsal, boling, sukan tari, baduk (go), dan e-sports.

Selain itu, turut dipertandingkan pada temasya berkenaan ialah acara catur, kickboxing, renang jarak pendek 25m, kabaddi dan kurash (sukan bela diri berasal dari Turki).

"Walaupun kejohanan ini dilihat kurang penting, kita harap atlet yang telah dipilih menggunakan sebaik mungkin peluang beraksi di temasya sukan ini sebagai persiapan bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Myanmar pada Disember nanti," katanya.

Bagaimanapun, Sieh berkata MOM tidak meletakkan sebarang sasaran pingat kerana MOM kini lebih memberi tumpuan kepada Sukan SEA.

"Penghantaran atlet ke Incheon lebih tertumpu kepada pendedahan awal kerana kebanyakan daripada mereka adalah atlet baharu," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain