suria

Kita Perlu Menteri Berani Dan Tegas Seperti Khairy - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata, bidang sukan negara memerlukan menteri berkaitan yang berani bersuara dan tegas seperti ditunjukkan Khairy Jamaluddin.

Katanya, tindakan Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik itu mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) baru-baru ini juga selari dengan tanggungjawabnya.

"Saya yakin pandangan yang dilontarkan oleh Menteri Belia dan Sukan itu dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima tanpa ditujukan secara langsung kepada mana-mana pihak mahupun individu," katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Pada masa yang sama Annuar yakin FAM bertindak mengikut peraturan dalam menangani isu berkenaan.

Khairy sebelum ini mempersoalkan tindakan FAM memberikan hak tuan rumah kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PNBP) bagi perlawanan tertunda separuh akhir kedua Piala FA membabitkan pasukan Johor DT dan Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu, selepas PNBP gagal menangani aspek keselamatan ketika perlawanan asal di Stadium Darul Makmur, Kuantan empat hari sebelum itu.

Khairy juga mempersoalkan keputusan FAM memperuntukkan 60,000 tiket kepada Pahang dan 20,000 kepada Johor pada perlawanan ulangan itu.

Kenyataan Khairy menimbulkan rasa terkilan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM yang bertitah keputusan FAM itu dibuat berlandaskan peraturan. - BERNAMA

Artikel Lain