suria

Piala FA: Pahang Dan Johor DT Main Sebelah Malam - FAM

KUALA LUMPUR: Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu ini, akan bermula pukul 8.45 malam dan bukan 4.15 petang seperti dijadualkan sebelum ini.

Penolong Setiausaha Agung (Tempatan) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Daud berkata hasil pemeriksaan ke atas lampu limpah di stadium berkenaan malam ini mendapati tahap pencahayaan melebih 1,000 Lux, sekali gus membolehkan perlawanan dapat diadakan pada waktu malam.

"Ada satu lampu yang rosak di bahagian penjuru sebelah kiri Grandstand tetapi pihak stadium telah memberikan jaminan bahawa perkara itu akan diselesaikan lewat malam ini.

"Mereka (pihak stadium) telah menjalani ujian terhadap lampu itu sejak pukul 12 tengah hari sehingga sekarang (pukul 9 malam) dan tiada berlaku sebarang kerosakan.

"Kami yakin bahawa perlawanan ini akan berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke stadium berkenaan, malam Khamis.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perlawanan itu akan bermula 4.15 petang berikutan masalah pencahayaan lampu limpah di stadium tersebut.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) mempertikaikan keputusan FAM yang dilihat 'berat sebelah' kerana tidak memberikan peruntukan khas tiket untuk penyokong Johor DT menyaksikan perlawanan berkenaan.

FAM sebelum ini mengumumkan sejumlah 60,000 tiket akan diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) manakala baki 20,000 akan dijual kepada umum di stadium berkenaan bermula 9 pagi esok.

PBNJ dalam kenyataan malam ini berkata tindakan FAM membenarkan PBNP menjadi tuan rumah serta peruntukan jumlah tiket yang besar dianggap sebagai satu 'keistimewaan.'

"Harus diingat bahawa Pahang dihukum kerana gagal mengambil langkah keselamatan yang cukup dalam perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darulmakmur Kuantan, Selasa lepas.

"Kini, mereka diberikan keistimewaan bermain dan bertindak selaku tuan rumah di Stadium Nasional Bukit Jalil yang boleh menampung lebih 80,000 penyokong di mana hasil jualan tiket ini akan dikaut oleh PBNP," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa cadangan bermain tanpa kehadiran penyokong sebagaimana yang disarankan oleh Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam adalah bagi memastikan insiden kekecohan yang berlaku sebelum ini tidak berulang lagi.

Pada pertemuan separuh akhir pertama Sabtu lepas, Johor DT mengalahkan Pahang 1-0.

Pemenang perlawanan timbal balik itu akan menentang juara bertahan Kelantan pada final 29 Jun ini. - BERNAMA

Artikel Lain