suria

Tiga Pemain Gugur Dari Skuad Harimau Malaya Ke Australia

PETALING JAYA: Tiga pemain yang melaporkan diri pada sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya terpaksa ketepikan daripada aksi perlawanan persahabatan di Canberra dan Sydney, Australia kerana masalah kecederaan.

Tiga pemain berkenaan ialah kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi dan penyerang Kedah, Khyril Muhymeen Zambri (kedua-duanya mengalami kecederaan hamstring) selain pemain tengah Kelantan, Mohd Shakir Shaari yang mengalami kecederaan pergelangan kaki.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata beliau akan memilih senarai 12 pemain yang menunggu bagi menggantikan tiga pemain berkenaan seperti Mohd Fauzi Rozlan dan Mohd Saiful Nizam Miswan (kedua-duanya dari Pahang) dan Mohammad Zubir Azmi (Terengganu).

"Kita tidak mempunyai masa yang panjang, jadi saya akan membuat keputusan terbaik dalam tempoh yang ada sebelum kita berlepas ke Australia (pada 3 Jun ini)," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Rabu.

Skuad kebangsaan akan mengadakan lawatan ke Australia dari 3 hingga 16 Jun ini sebagai persiapaan menghadapi Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur, 15 Oktober ini.

Pengurus pasukan Datuk Seri Subahan Kamal baru-baru ini berkata bahawa skuad Harimau Malaya akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab seperti Canberra All Stars pada 6 Jun, Marconi Stallions FC (11 Jun) dan Sydney United FC pada 13 Jun.

Rajagobal berkata pemain Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) yang terlibat dengan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini hanya akan melaporkan diri, Ahad ini.

Beliau turut mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa perlawanan di Australia bukanlah hanya sekadar 'makan angin' sahaja tetapi lebih kepada persediaan untuk memantapkan aksi pemain menjelang perlawanan menentang Bahrain nanti.

Malaysia kini berada di kedudukan ketiga daripada empat pasukan dalam kumpulan D dengan tiga mata daripada dua perlawanan.

Skuad Harimau Malaya kalah 2-0 kepada Qatar pada aksi pembukaan di Doha, 6 Feb lepas sebelum bangkit mengalahkan Yemen, 2-1 pada perlawanan kedua kumpulan D di Stadium Shah Alam, 22 Mac lepas. - BERNAMA

Artikel Lain