suria

Sukan Sea Ke-28 Di Singapura Akan Diadakan Dari 5 Hingga 16 Jun 2015

SINGAPURA: Sukan SEA 2015 di Singapura akan berlangsung mulai 5 hingga 16 Jun, demikian diumumkan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC), Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif SINGSOC, Lim Teck Yin berkata beberapa jenis sukan seperti bola sepak akan memulakan pusingan awal beberapa hari sebelum majlis perasmian temasya edisi ke-28 pada 5 Jun 2015.

Beliau berkata tarikh sukan itu diumumkan dengan lebih awal bagi membolehkan negara Asia Tenggara dan rakyat Singapura membuat persediaan dan perancangan untuk menjadi sebahagian daripada temasya dwitahunan itu.

Lim berkata SINGSOC telah membincangkan beberapa tarikh sebelum membuat keputusan untuk mengadakan temasya itu pada awal bulan Jun.

"Beberapa pertimbangan diambil termasuk keadaan cuaca yang baik, permulaan bulan Ramadan, Perbarisan Hari Kebangsaan, perlumbaan F1 dan peperiksaan sekolah," katanya selepas mesyuarat SINGSOC di sini, Rabu.

Pemilihan bulan Jun adalah sama ketika negara itu menjadi tuan rumah pada 1983 dan 1993.

Walaupun jumlah acara sukan akan ditentukan dengan Persekutuan Sukan SEA (SGF) kemudian namum SINGSOC sedang mempertimbangkan untuk mengadakan lebih 30 jenis sukan.

Sukan SEA ke-27 akan diadakan di Myanmar, Disember ini. - BERNAMA

Artikel Lain