suria

Piala FA: Penyokong Kecoh, Perlawanan Pahang- Johor DT Ditangguh

KUANTAN: Kekecohan yang ditimbulkan oleh penyokong pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Darulmakmur, Selasa malam menyebabkan ia tidak dapat diteruskan.

Pengumuman penangguhan perlawanan itu diumumkan oleh komisioner perlawanan yang juga Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Daud kira-kira pukul 10.30 malam (Selasa) selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan pegawai perlawanan.

Beliau yang ditemui pemberita berkata kehadiran penyokong yang dianggarkan berjumlah 40,000 melebihi 35,000 kapasiti tempat duduk yang ditetapkan menyebabkan perlawanan itu tidak dapat diteruskan.

Katanya, berdasarkan tinjauan yang dilakukan mendapati dua pintu stadium telah dirempuh oleh penyokong sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan di dalam stadium.

"Jualan tiket hanya mencapai 32,000 namun jumlah yang memasuki stadium melebihi daripada yang dibenarkan menyebabkan stadium penuh sesak...kita juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keras ke atas kedua-dua pasukan kerana gagal mengawal tingkah laku penyokong masing-masing," katanya.

Ahmad Fuad berkata Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan venue dan tarikh baharu perlawanan selewat-lewatnya minggu depan.

Terdahulu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah terpaksa turun ke trek bagi mententeramkan penyokong Pahang dan meminta mereka mengosongkan kawasan itu bagi memastikan perlawanan berkenaan dapat dimulakan.

Difahamkan, beberapa penyokong kedua-dua pasukan turut mengalami kecederaan disebabkan balingan mercun dan air botol mineral sehingga terpaksa dibawa keluar oleh pasukan keselamatan yang bertugas.

Untuk rekod, Johor DT menang 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu lepas.

Terdahulu, juara bertahan, Kelantan mengalahkan Terengganu dengan agregat 6-5 untuk layak ke final buat kali keempat selepas 2009, 2011 dan 2012.

Kemenangan 4-2 yang dicatatkan skuad Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hari ini bagaimanapun tidak membantu mereka layak ke final selepas kecundang 4-1 kepada Kelantan pada aksi separuh akhir pertama di Kota Baharu, Sabtu lepas.

Final Piala FA 2013 dijadualkan pada 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.-BERNAMA

Artikel Lain