suria

PBNJ Perketat Pemeriksaan Masuk Ke Stadium, Kekang Tiket Palsu

JOHOR BAHARU: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ)akan memperketatkan pemeriksaan terhadap kemasukan penonton ke stadium di negeri itu bagi mengekang penggunaan tiket palsu.

Presidennya Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata langkah itu diambil bagi mengelak insiden penonton berlebihan yang berlaku ketika perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan pada Rabu lepas. "Kita akan bertegas, kalau tiket mereka tidak ada nombor siri itu tiket palsu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Menurut Tengku Mahkota Johor itu PBNJ juga akan menempatkan anggota polis di kaunter jualan tiket dan pintu masuk stadium bagi memantau penjualan tiket dan kemasukan penonton.

Mengenai insiden yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, Tunku Ismail berkata PBNJ menyerahkan kepada polis untuk menyiasat bagi menentukan sama ada wujud tiket palsu atau penonton diseludup masuk pihak tertentu.

Katanya PBNJ juga bersedia menerima tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia susulan insiden itu yang menyebabkan perlawanan tertunda hampir 40 minit.

Mengulas insiden itu, Tunku Ismail berkata laporan awal mendapati terdapat lebihan penyokong Kelantan sekalipun hanya 100 tiket dikeluarkan untuk mereka.

"Masalah timbul apabila mereka duduk di tempat penyokong Johor. Bagi mengelak pergaduhan, kita terpaksa menyusun semula dengan meletak penyokong Kelantan di satu tempat dan diasingkan daripada penyokong Johor," katanya.

Mengulas perkara lain, Tunku Ismail memuji tindakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam menangani isu sindiket mengatur perlawanan dalam Liga Malaysia.

PBNJ katanya merupakan pasukan pertama menubuhkan jawatankuasa integriti yang bertujuan meningkatkan kualiti bola sepak dan tahap profesionalisme pemain. "Kalah atau menang itu belakang kira asalkan pemain kita tidak terlibat dengan gejala itu," kata Tunku Ismail. -BERNAMA

Artikel Lain