suria

Khairy Mahu Semua PBSN Tubuh Jawatankuasa Integriti Banteras Rasuah, Atur Perlawanan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu semua persatuan bola sepak negeri (PBSN) menubuhkan Jawatankuasa Integriti masing-masing bagi membanteras rasuah dan mengatur perlawanan.

Katanya beliau akan menulis kepada presiden PBSN yang masih belum menubuhkan jawatankuasa tersebut dengan kadar segera.

Beliau berkata jawatankuasa sedemikian penting di peringkat negeri bagi memastikan gejala mengatur perlawanan bola sepak yang kembali menular pada masa kini dapat dibanteras di peringkat akar umbi.

"Kebanyakan persatuan negeri masih belum mewujudkan jawatankuasa itu...Ini bukan isu kementerian ingin campur tangan (dalam hal ehwal pentadbiran mereka) jika gelaja ini sampai ke peringkat nasional, ia boleh menjejaskan imeh negara.

Khairy berkata jawatankuasa itu merupakan saluran pertama kepada pemain (dan pegawai pasukan) untuk memberikan maklumat mengenai gejala atur perlawanan bola sepak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat tertutup mengenai gejala berkenaan yang disampaikan oleh wakil daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, khamis.

Taklimat berkenaan yang berlangsung hampir dua jam dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, SAC Datuk Abdul Jalil Hassan; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong.

Khairy berkata bookie bola sepak kini mengalih tumpuan mereka daripada pemain senior kepada pemain baharu terutamanya daripada akademi bola sepak yang ingin menikmati kehidupan mewah seperti mana yang dinikmati oleh pemain yang sudah lama menceburkan diri dalam bola sepak.

"Jadi, kempen kesedaran di kalangan pemain muda mestilah bermula daripada sekarang.

"Kita harus memberitahu mereka (pemain-pemain muda) bahawa inilah saluran untuk mereka menyampaikan maklumat di samping kita turut memerhatikan mereka supaya tidak didekati atau didampingi oleh bookie daripada terlibat dengan sindiket perjudian," katanya.

Pada masa yang sama, Khairy turut meminta mereka yang mempunyai maklumat sahih berkenaan dengan mana-mana kegiatan gejala tersebut supaya menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa.

"Masalah bookie dan maklumat ini amat ketara sekali kerana pada ketika ini, Jawatankuasa Integriti FAM, SPRM dan PDRM masih lagi bergantung harap kepada sumber pihak ketiga untuk mendapatkan maklumat mengenai kes atur perlawanan bola sepak," katanya.

Khairy turut memberikan jaminan bahawa pemberi maklumat mengenai dalang terlibat dalam gejala mengatur perlawanan bola sepak tidak perlu bimbang memandangkan mereka dilindungi oleh beberapa akta termasuklah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. - BERNAMA

Artikel Lain