suria

KBS Serius Lahir Lebih Ramai Pemain Golf Amatur Wanita Negara - Khairy

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serius membangunkan sukan golf tempatan termasuk melahirkan lebih ramai pemain amatur wanita bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat dalam sukan itu pada masa akan datang.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) menyokong penuh hasrat Penaung Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga) Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin untuk mengangkat sukan itu di negara ini ke peringkat lebih tinggi.

"Nasib baik ada seorang pemain golf wanita yang memberi keceriaan dengan kejayaan dalam kejohanan pada minggu ini. Golf bukan satu sukan teras tetapi ia sukan paling mantap untuk memupuk bakat baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Terbuka Wanita Amatur Malaysia (MLAO) di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara di sini Khamis.

Khairy berkata MSN mempunyai pelan pembangunan bakat yang baik tetapi perlu memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan.

"Kita tidak boleh bergantung kepada seorang sahaja Lee Chong Wei (pemain badminton nombor satu dunia) dan Nicol David ( pemain skuasy nombor satu dunia)....atau pemain golf amatur Kelly Tan tetapi kita perlu ramai jaghug sukan seperti itu," katanya.

Kelly, 19, memenangi kejuaraan MLAO juara buat kali kedua selepas 2011.

Khairy turut memberi jaminan bahawa kementerian akan menyokong usaha Malga untuk menganjurkan Queen Sirikit Cup dari 9 hingga 11 April, 2014 di Saujana Golf & Country Club di Subang.

Kejohanan berpasukan amatur wanita Asia Pasifik itu melibatkan penyertaan 13 negara termasuk Australia, China, Taiwan, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Thailand dan Singapura. - BERNAMA

Artikel Lain