suria

Kami Mahu Tebus Maruah Bojan Hodak - Badri Radzi

KOTA BAHARU: Kapten Kelantan Mohd Badri Mohd Radzi berjanji akan mengemudi pasukannya mencapai kemenangan untuk menebus maruah jurulatih, Bojan Hodak, pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam esok.

Mohd Badri yang lebih mesra disapa Piya, hari ini berkata Kelantan harus menang pada perlawanan tersebut memandangkan Hodak kini dikritik teruk bukan sahaja peminat, malah pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) gara-gara tidak memasukkan tonggak utama pasukan ketika menentang Johor DT dalam saingan Liga Super, minggu lepas.

Kekalahan 0-2 kepada Johor DT itu dipercayai berpunca daripada percaturan jurulatih dari Croatia itu yang hanya memasukkan tiga pemain iaitu Mohd Badhri, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Mohamad pada babak kedua perlawanan.

Menurut Piya Kelantan perlu mendapatkan jaringan awal bagi mengelak mereka bermain di bawah tekanan, sekali gus menyeru rakan sepasukan agar melupakan kekalahan dengan pasukan berstatus bintang itu.

"Saya percaya jurulatih ada perancangan beliau yang tersendiri ketika berdepan Johor DT minggu lepas. Beliau telah melakukan yang terbaik untuk pasukan dan kami akan pastikan segala kecaman yang dilemparkan terhadap beliau akan terhapus malam esok. "Memang tak dinafikan kami masih kecewa dengan kekalahan kepada Johor DT masih lagi terasa, tapi kami perlu bangkit dan lupakan kekalahan tersebut dan memberi persembahan terbaik tanpa sebarang tekanan serta perlu mencari gol awal untuk bangkitkan keyakinan," katanya ketika dihubungi di sini.

Akhbar hari ini melaporkan Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa mengecam tindakan Hodak menerusi laman sosial Facebook miliknya sejurus perlawanan itu berakhir dengan berkata 'percaturan paling bodoh musim ini!'.

Akibat kenyataan tersebut, Hodak terus ditempelak peminat The Red Warriors yang pulang tanpa sebarang mata.

Bagaimanapun, Hodak mempertahankan tindakan beliau yang tidak memasukkan tiga pemain tersebut dengan alasan mahu beri mereka rehat mencukupi bagi menghadapi perlawanan dengan Terengganu dalam saingan Piala FA, malam esok. -BERNAMA

Artikel Lain