suria

Pesuruhjaya Sukan Baharu Diumum Dalam Masa Terdekat - Khairy

PUTRAJAYA: Pesuruhjaya Sukan baharu bagi menggantikan Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh yang tamat kontrak bulan lepas, akan diumum dalam tempoh terdekat, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata beberapa nama telah dikemukakan kepadanya oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohid Mohamed bagi mengisi jawatan itu dan beliau akan memperhalusinya sebelum membuat keputusan.

"Saya tidak boleh beritahu senarai nama, yang pasti saya akan pilih calon paling berwibawa memegang jawatan tersebut. Selepas selesai Festival Belia minggu depan, saya akan lihat senarai pendek calon-calon tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima tugas Menteri Belia dan Sukan daripada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia di Menara KBS di sini, Selasa.

Mengenai kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Khairy menyerahkan perkara itu kepada Shahidan untuk diputuskan.

"Biasanya apabila dilantik sebagai menteri, kita akan lepaskan jawatan dalam persatuan dan saya serah kepada beliau (Shahidan) untuk merujuk perkara itu kepada perlembagaan persatuan terbabit," katanya.

Ditanya perkembangan Sukan SEA ke-27 di Myanmar pada 11 hingga 22 Dis depan, Khairy menyarankan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat penelitian terperinci agar bersesuaian dengan peluang pungutan pingat kontinjen negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata beliau dimaklumkan bahawa MOM belum menerima buku panduan teknikal daripada penganjur mengenai acara sukan yang akan dipertandingkan di Myanmar.

"Antara laporan awal yang saya terima, tiada masalah dari segi keselamatan, cuma buku panduan teknikal belum diterima.

"Ini penting sebab kita perlu tahu peraturan pertandingan dan Jawatankuasa MOM juga belum putuskan berapa ramai kontinjen kita ke Myanmar. Ini perlu diputuskan dalam masa terdekat," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain