suria

Malaysia Raih Satu Emas & Perak Pada Hari Pertama Kejohanan Berbasikal Pra Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Skuad lebuh raya negara melakar kayuhan cemerlang pada hari pertama Kejohanan Pra-Sukan Sea 2013 di Naypyitaw, Myanmar pada Rabu apabila meraih satu pingat emas dan satu pingat perak menerusi acara ujian masa individu (ITT) lelaki serta wanita.

Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan berkata kapten skuad berbasikal lelaki kebangsaan Muhammad Rauf Nur Misbah menghadiahkan pingat emas selepas menjuarai acara itu dengan catatan masa 1 jam 07 minit 27.771 saat.

Pelumba Thailand, Thurakit Boonrathanakorn meraih pingat perak dengan catatan masa 1:09:55.223s diekori pelumba Singapura, Darren Low yang keciciran 3:11.027s di belakang untuk berpuas hati dengan pingat gangsa.

Pelumba elit kebangsaan, Mariana Mohamed terpaksa berpuas hati dengan meraih pingat perak dalam acara ITT wanita selepas keciciran 57.647s di belakang juara dari Thailand, Chanpeng Nontasin pada perlumbaan yang melibatkan jarak sejauh 31.7km.

Mariana mencatatkan masa 50:38.148s untuk merangkul pingat perak manakala pelumba tuan rumah, Mu Mu Aye menggondol pingat gangsa dengan catatan masa 51:19.314s.

Mengulas mengenai kejayaan meraih pingat emas pada perlumbaan itu, Muhammad Rauf mengakui beliau hilang fokus sementara ketika perlumbaan menghampiri 20km terakhir disebabkan tidak mendapat bekalan air mencukupi berikutan cuaca yang mencecah 46 darjah selsius.

"Cuaca sangat panas... tekak saya terasa sangat perit kerana tak dapat bekalan air dan ia sangat menyeksakan namun syukur kerana saya berjaya juga akhirnya meraih pingat emas,” kata pelumba berasal dari Sekinchan, Selangor itu.

Mariana pula menegaskan beliau akan mempertingkatkan latihan beliau sebelum menghadapi Sukan SEA yang bakal berlangsung di Myanmar, hujung tahun ini.

"Saya akui dia (Nontasin) seorang pelumba yang bertaraf Asia dan sering menang di peringkat antarabangsa dan saya agak terkejut apabila saya dikalahkan dengan perbezaan masa sekitar 57 saat sahaja.

"Saya akan berlatih lebih kuat menjelang enam bulan lagi ke Sukan Sea...masih ada waktu untuk saya mengejar Nontasin bagi memastikan saya mampu meraih pingat pada Sukan SEA nanti.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua jurulatih skuad berbasikal lebuhraya negara, Aminuddin Sulaiman menganggap kejayaan Muhammad Rauf sebagai satu permulaan yang bagus selepas pasukan lebuh raya lelaki gagal meraih sebarang pingat pada Sukan Sea 2011 di Indonesia.

"Sekurang-kurangnya Muhammad Rauf membuktikan bahawa dia layak untuk disenaraikan bagi acara ujian masa berpasukan (TTT) pada Sukan Sea 2013 nanti dan saya berasa gembira dengan kejayaan hari ini,” katanya.

Beliau turut percaya dengan kemampuan barisan pelumba negara mampu menambah pungutan pingat emas menerusi acara TTT sejauh 100km pada hari kedua kejohanan yang akan berlangsung, esok. -BERNAMA

Artikel Lain