suria

David Moyes Mula Tugas 43 Hari Lebih Awal Di Man Utd

David Moyes
David Moyes
David Moyes

PENGURUS BARU Manchester United, David Moyes memulakan tugasnya 43 hari lebih awal dengan melaporkan diri di ibu pejabat kelab itu di Carrington pada Isnin pagi.

Kurang daripada 16 jam selepas wisel penamat perlawanan akhir Everton ditiup, Moyes memandu masuk ke Carrington pada jam 9.20 pagi untuk memulakan babak baru dalam kerjaya bolasepaknya.

Dia sebenarnya dijadualkan mengambil alih jawatan Ferguson pada 1 Julai tetapi Moyes nampaknya berada dalam mood ingin memulakan tugasnya lebih awal selepas Everton memberi kebenaran untuk berbuat demikian.

Untuk rekod, Moyes berkhidmat selama 11 tahun dengan Everton.

Ketibaannya di Carrington disambut oleh Sir Alex Ferguson, jurulatih Rene Meulensteen dan Ketua Eksekutif United, David Gill.

Pengurus berusia 50 tahun itu kemudiannya diperkenalkan kepada staf-staf pentadbiran dan kejurulatihan kelab dan selepas itu dibawa melawat seluruh kompleks Carrington oleh Ferguson sebelum mereka menghabiskan masa selama sejam di pejabat Ferguson.

Moyes selepas itu mengadakan pertemuan dengan staf kejurulatihan termasuk jurulatih penjaga gol, Eric Steele dan memaklumkan kepada mereka yang dia akan mendapat gambaran yang jelas mengenai pasukan pengurusannya menjelang Jumaat ini.

Dia juga dijadualkan untuk bertemu Penolong Pengurus, Mike Phelan pada Selasa.

Selain itu, Moyes turut bertemu dengan Pengarah Akademi Bolasepak Man Utd, Brian McClair dan ketua jurulatih pasukan simpanan, Warren Joyce.

Moyes menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga jam di Carrington sebelum dilihat meninggalkan kompleks berkenaan bersama-sama Ferguson dan Penyelia Jersi Man Utd, Albert Morgan dalam satu kereta untuk keluar makan tengah hari.

Artikel Lain