suria

KLHC Cipta Hatrik Juarai Piala TNB 2013

KUALA LUMPUR: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mencipta hatrik apabila mengulangi kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan pasukan Tenaga Nasional Bhd (TNB) 2-1 pada perlawanan akhir Piala TNB 2013 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

Dengan kemenangan itu, KLHC membawa pulang tropi juara keseluruhan dan hadiah wang tunai RM70,000 sementara TNB, selaku naib juara, menerima RM50,000.

Turut hadir menyaksikan perlawanan malam ini Presiden Konfiderasi Hoki Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkples Embong.

"Pasukan kami bermain dengan baik malam ini. Kemenangan kali ini adalah yang paling manis sebab berjaya kekal sebagai juara bertahan tiga kali berturut-turut. TNB bermain dengan baik, tetapi tuah berpihak kepada kami.

"Saya berbangga dengan keupayaan pemain untuk bermain dengan konsisten," kata jurulatihnya, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Selain melakukan hatrik bagi menjulang Piala TNB, KLHC mencipta kemenangan berganda kelima selepas mengungguli Liga Malaysia 2013.

Saingan perlawanan akhir malam ini bermula agak garang apabila kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan masing-masing.

Bagaimanapun, Amir Farid Ahmad Fuzi menjaringkan gol pendahuluan TNB pada minit kelapan menerusi jaringan gol padang.

KLHC kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-20 melalui pukulan sudut penalti pertama oleh Syed Syamim Mohd Yusof.

TNB berpeluang menghasilkan gol selepas dihadiahkan pukulan penalti pada minit ke-24 selepas Faizal Saari dijatuhkan Fareed Ahmed dalam kawasan gol.

Bagaimanapun, Faizal gagal menyempurnakan peluang itu kerana pukulan yang dilakukan tersasar.

Selepas rehat, perlawanan terus rancak dengan serangan kedua-dua pasukan.

KLHC melalui pemain import mereka Muhammad Imran berjaya menewaskan penjaga gawang TNB S.Kumar melalui pukulan penalti pada minit ke-64 selepas berlaku kesalahan berkaitan kayu hoki oleh pemain TNB dalam kawasan gol.-BERNAMA

Artikel Lain