suria

Kemenangan Pertama Bakar Semangat N.Sembilan Untuk Perbaiki Kedudukan

SEREMBAN: Jurulatih sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah berharap kemenangan 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super pada Sabtu malam membakar semangat juang anak buahnya menghadapi baki lima lagi perlawanan.

"Saya berharap kemenangan pertama selepas 17 perlawanan itu akan mencetuskan semangat pasukan untuk terus mencatat kemenangan dan memperbaiki kedudukan," katanya, Ahad.

Ridzuan mengambil alih sementara tugas jurulatih Divaldo Elves yang direhatkan ekoran persembahan hambar Negeri Sembilan musim ini.

Mengulas lanjut, Ridzuan berkata sekalipun kemenangan itu tidak dapat mengubah kedudukan pasukan di tangga tercorot liga pada masa ini, setidak-tidaknya mereka menghidupkan peluang untuk kekal dalam liga utama Liga Malaysia musim depan.

Beliau yang hanya mempunyai masa empat hari sebelum berdepan ATM yang berada di tangga kedua liga, berkata tidak banyak yang dapat dilakukannya untuk mencorakkan pemain.

"...apa yang saya tekankan ialah persefahaman antara pemain dan mengarahkan mereka melakukan serangan berterusan ke kubu lawan. "Syukur Alhamdulillah, pemain melaksanakan tugas mereka dengan baik seperti mana dirancang dan kemenangan itu harus menjadi pembakar semangat buat pemain untuk terus memberi persembahan terbaik dalam perlawanan akan datang," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain