suria

Hoki: Skuad Kebangsaan Sedia Hadapi Saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan bersedia menghadapi persaingan pusingan ketiga separuh akhir kejohanan Liga Hoki Dunia yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Baharu, Johor dari 29 Jun hingga 7 Julai ini.

Skuad kebangsaan akan berdepan pasukan ternama seperti Pakistan, England dan Afrika Selatan dalam Kumpulan B.

Kumpulan A pula terdiri daripada Jerman, Korea Selatan, Argentina dan satu lagi pasukan, iaitu sama ada Jepun atau Rusia, yang akan ditentukan selepas persaingan pusingan kedua.

"Berdepan pasukan seperti Pakistan, England dan Afrika Selatan, kita perlu mencabar kebolehan serta keupayaan sendiri.

"Kita akan menyerang setiap pasukan dengan taktik serupa selain mempertingkat corak permainan sedia ada," kata jurulatih kebangsaan Paul Revington pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional di sini pada Ahad.

Berdasarkan prestasi pemain ketika ini, Revington yakin skuad bimbingannya mampu memberi cabaran sengit.

Revington berkata beliau menghormati gaya permainan pasukan lain dalam Kumpulan B dan tidak akan sesekali memandang rendah kebolehan lawan.

"Saya rasa semua pemain percaya bahawa dengan pemikiran yang betul dan fizikal yang kuat, kita sepatutnya mampu bersaing dengan semua pasukan ini," katanya.

Pusingan ketiga kejohanan Liga Hoki dunia merupakan perlawanan kelayakan bagi Piala Dunia 2014 yang bakal berlangsung di Belanda.

Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada satu lagi perlawanan kelayakan Piala Dunia iaitu Piala Asia, yang berlangsung dari 24 Ogos hingga 1 Sept di Ipoh, Perak.-BERNAMA

Artikel Lain