suria

Hafizh Timba Pendedahan Berguna

Hafizh Syahrin Abdullah
Hafizh Syahrin Abdullah
Hafizh Syahrin Abdullah

HAFIZH Syahrin Abdullah mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya menamatkan perlumbaan Moto2 di tempat ke-22 pada Kejuaraan Grand Prix Perancis, Ahad.

Bermula dari petak ke-25, aksi Hafizh pada peringkat awal saingan sedikit terganggu setelah dia terbabas ke tepi litar dan terjatuh akibat terpaksa mengelak daripada terlanggar pelumba-pelumba yang terjatuh dalam insiden kemalangan melibatkan pelumba-pelumba kelompok hadapan.

Tidak patah semangat, Hafizh tetap bangkit untuk meneruskan perlumbaan namun malangnya, insiden tersebut menyebabkan tuil klac jentera Kalex yang digunakan patah.

Masalah tersebut walau bagaimanapun tidak menghalang Hafizh untuk meneruskan perlumbaan dan dia tetap beraksi tanpa tuil klac sebelum berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 pada perlumbaan yang ditamatkan lebih awal selepas bendera merah dikibarkan.

Bagi Pengurus PAsukan PETRONAS Raceline Malaysia, Barry Leong, dia tetap gembira dengan prestasi yang dipamerkan Hafizh sekalipun tidak mencapai sasaran untuk menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di kelompok 15 pelumba terbaik.

“Perlumbaan kali ini memberi satu pendedahan berguna kepada Hafizh. Dia mempamerkan semangat juang yang tinggi kerana walaupun mengalami masalah jentera, dia masih berupaya untuk meneruskan perlumbaan dan paling dibanggakan dia berjaya untuk menamatkan perlumbaan.

“Kita berharap dia dapat menimba seberapa banyak pengalaman pada perlumbaan kali ini sebagai persediaan untuk dia beraksi dalam beberapa siri wildcard lain yang kami rancang untuknya.”

Artikel Lain