suria

Khairy Akan Siasat Kehadiran Bookie Di Stadium Bola Sepak KL

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan akan menyiasat dakwaan kehadiran sebilangan bookie semasa perlawanan Liga Perdana antara Kuala Lumpur dan Sime Darby FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapat maklumat berhubung perkara itu sekiranya benar di samping tindakan yang akan diambil.

Katanya beliau akan berjumpa dengan polis untuk berbincang mengenai usaha membanteras aktiviti mengatur perlawanan dan pertaruhan haram oleh bookie bola sepak.

Khairy berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas perkara itu selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir Malaysian Invasion Mixed Martial Arts (MIMMA) Championship di Kelana Jaya dekat sini, Sabtu.

Isu berkenaan menjadi bahan bualan di laman sosial Facebook dan Twitter, apabila keputusan perlawanan berkenaan dikatakan sama seperti yang diramalkan oleh sebilangan bookie yang hadir di stadium berkenaan.

Pada perlawanan itu, Sime Darby FC membelasah pasukan tuan rumah 5-0.

Khairy, yang memegang portfolio kementerian itu dalam barisan baharu Kabinet Persekutuan, Rabu lalu, berkata gejala rasuah dan perjudian dalam Liga Malaysia perlu dibanteras segera kerana ia boleh menghancurkan industri sukan negara.

"Saya pandang perkara ini (bookie perlawanan) serius sebab saya pernah jadi Timbalan Presiden FAM dan ia adalah satu masalah yang saya lihat masih menghantui sukan bola sepak dan pasukan tempatan.

"Pada saya, bookie dalam perlawanan bola sepak tempatan akan menimbulkan gejala rasuah di kalangan pemain dan pegawai," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain