suria

Enam Pasukan Sertai Futsal Red Bull Tri-Nations Cup Pada Jun Ini

KUALA LUMPUR: Enam pasukan dari tiga negara Asean akan bersaing pada edisi kedua Kejohanan Futsal Red Bull Tri-Nations Cup 2013 di Stadium Tertutup Kuala Terengganu pada 14 dan 15 Jun ini.

Malaysia akan diwakili oleh dua pasukan iaitu M.A.C FC, sebuah pasukan terdiri daripada pelajar universiti dari Shah Alam dan Gelombang FC dari Terengganu.

Kedua-dua pasukan itu muncul juara daripada 256 pasukan yang menyertai perlawanan kelayakan Kejohanan Futsal Red Bull 5 yang diadakan di seluruh negara, tahun lepas.

Selain dua wakil Malaysia, pasukan lain ialah Indera SC Futsal dan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei manakala dua wakil Singapura ialah Mountbatten Football Club A dan B.

Sementara itu, penolong setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Daud melahirkan penghargaan kepada Red Bull Malaysia kerana menyediakan peluang kepada pemain tempatan menyertai kejohanan tersebut.

Beliau berkata FAM, selaku badan induk bola sepak negara, menyambut baik usaha sektor swasta dan badan korporat dalam membangunkan sukan itu di negara ini.

Kejohanan tersebut, yang menawarkan hadiah wang tunai RM20,000, itu dihoskan secara bergilir antara Malaysia, Brunei dan Singapura.

Pada edisi pertama pada 2011, pasukan QAF FC dari Brunei muncul juara menerusi tendangan penalti selepas terikat 3-3 dengan LTS FC dari Malaysia selepas masa penuh perlawanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Akhir Liga Europa

Artikel Lain