suria

Lebih 1,000 Atlet Sertai Kejohanan MSSM Ke-55 Di Kuantan

KUANTAN: Kejohanan Balapan Dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-55 yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Mei di Stadium Darul Makmur di sini menarik penyertaan 1,360 atlet dan pegawai.

Setiausaha pengelola kejohanan, Jalaluddin Ismail berkata kejohanan tahunan itu menawarkan 90 pingat emas yang akan direbut oleh 16 kontinjen termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Sebanyak 21 jenis acara sukan yang akan dipertandingkan bagi merebut 270 pingat keseluruhan dengan penyertaan kontinjen dari negeri-negeri akan mula melaporkan diri pada Jumaat ini," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Katanya, majlis perasmian pembukaan akan berlangsung pada 8 malam, Sabtu ini di Stadium Darul Makmur manakala majlis penutup pada 4 petang, 24 Mei di venue sama.

Beliau berkata identiti Gajah yang sinonim dengan Pahang telah dipilih sebagai maskot yang diberi gelaran "Sendo" untuk kejohanan itu dengan penglibatan atlet tuan rumah seramai 80 orang terdiri 47 lelaki dan 33 perempuan.

Dalam kejohanan kali ke-54 di Perlis tahun lepas, kontinjen Sarawak dinobatkan sebagai juara selepas berjaya memungut 13 pingat emas manakala Pahang hanya mampu berada di tempat kesembilan dengan pungutan enam pingat emas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain