suria

Ekuesterian: Praveen Sasar Pencapaian Cemerlang Pada Cabaran Lompatan Dunia FEI

KUALA LUMPUR: Atlet ekuestrian kebangsaan Praveen Nair Mathavan berazam melakar prestasi cemerlang pada Cabaran Lompatan Dunia Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) 2013 yang bermula esok hingga Ahad di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort di sini.

Kejohanan tiga hari ini merupakan pusingan kelayakan bagi atlet muda ekuestrian untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik Belia kedua di Nanjing, China pada 2014. Sukan Olimpik Belia pertama diadakan di Singapura pada 2010.

"Saya menjangka menghadapi cabaran sengit daripada penunggang muda lain yang juga ingin menempah tiket ke Sukan Olimpik Belia 2014 memandangkan hanya terdapat empat tempat bagi setiap benua. "Saya meletakkan harapan pada kuda saya Clearcut, yang sudah bersama saya sejak beberapa tahun lepas untuk mempamerkan prestasi cemerlang pada kejohanan ini," kata pelajar tahun akhir Nexus International School di Putrajaya ini.

Atlet itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) dan INFOVALLEY Life Sciences Sdn Bhd dan iGene Sdn Bhd bagi menggilap bakat penunggang dan meningkatkan kesihatan kuda di sini, Khamis. Kerjasama lima tahun melibatkan RM500,000 itu akan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kemahiran menunggang kuda, kesihatan kuda dan pengurusan prestasi melalui kemajuan sains dan teknologi.

EAM diwakili timbalan presidennya Datuk Othman Talib, manakala ketua pegawai eksekutif INFOVALLEY Mathavan Chandran dan naib presiden iGene Anu Sheela Themudu menandatangani MoU itu bagi pihak syarikat masing-masing.

Othman memuji usaha dua syarikat berkenaan untuk memajukan sukan berkuda di negara ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain