suria

Peminat United Pilih Mourinho Tapi Bekas Pemain & Ferguson Pilih Moyes

Jose Mourinho
Jose Mourinho
Jose Mourinho

MANCHESTER: Bancian dalam talian yang dijalankan oleh akhbar tabloid popular UK, The Sun mendapati, sebahagian besar peminat setia Manchester United mahukan Jose Mourinho mengantikan Sir Alex Ferguson yang mengumumkan persaraannya pada Rabu.

Jurulatih Real Madrid yang mendapat jolokan "The Special One" itu menerima undian sebanyak 40 peratus daripada 65,000 pengundi yang mengambil bahagian dalam bancian itu.

Pengurus Everton, David Moyes yang menjadi jurulatih pilihan Ferguson untuk mengantikannya pula menerima 32 peratus undi.

Di samping Ferguson, turut bersepakat menyokong pelantikan Moyes sebagai pengurus United yang baru ialah bekas-bekas pemain berpengaruh kelab itu seperti bekas kapten pasukan Gary Neville, Denis Law dan Peter Schmeichel.

Ferguson khabarnya telah mengesyorkan kepada pihak lembaga pengarah supaya melantik Moyes, 50.

Sepertimana Ferguson, Moyes juga berbangsa Scottish dan mempunyai gaya pengurusan yang hampir sama sepertimana legenda United itu malah mempunyai mata untuk mengenalpasti potensi pemain-pemain muda.

Wayne Rooney adalah salah seorang pemain ternama yang terlebih dahulu menerima asuhan Moyes ketika remaja sebelum dibeli oleh United.

Moyes pada pagi Khamis telah mengadap Pengerusi Everton, Bill Kenwright di kota London untuk membincangkan masa depannya.

Moyes sepatutnya menandatangani kontrak baru bersama Everton tetapi masih belum berbuat demikian.

Kenwright sementara itu menegaskan kepada pihak media bahawa sehingga ke saat ini mereka masih belum menerima sebarang isyarat atau panggilan telefon daripada pengurusan tertinggi United berhubung Moyes.

Oleh yang demikian katanya, Moyes akan bertugas sepertimana biasa dan mengendalikan skuad Everton menentang West Ham Ahad ini.

Kenwright bagaimanapun menegaskan yang beliau serta Everton tidak akan menghalang apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Moyes berhubung masa depannya.

FAKTA DAN ANGKA MENGENAI FERGUSON:

> Sepanjang kariernya sebagai pengurus United, Ferguson telah memenangi 894 perlawanan, seri 337 dan kalah 267.

> Beliau telah membeli 104 pemain.

> Terdapat 14 pemain dalam skuad United sekarang yang masih belum dilahirkan ke dunia ketika Ferguson pertama kali mengambil alih jawatan pengurus di United pada 6 November 1986.

Artikel Lain