suria

Maybank Azam Akhiri Kemarau Gelaran Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Pasukan Maybank berazam mengakhiri kemarau penantian selama 17 tahun untuk meraih semula gelaran Kejohanan Hoki Piala TNB musim ini selepas tahun 1995.

Maybank muncul naib juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2013 manakala Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sebagai juara liga musim ini.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu terlebih dahulu perlu mengatasi musuh tradisi masing-masing iaitu TNB dan Sapura bagi merebut slot ke final Piala TNB.

Perlawanan timbal balik separuh akhir akan diadakan pada Jumaat dan Ahad ini. Jurulatih Maybank Wallace Tan mengakui pertemuan dengan TNB bukan mudah kerana mereka adalah musuh tradisi sejak liga itu diperkenalkan pada tahun 1987.

Bagaimanapun, katanya, mereka perlu mendapatkan kelebihan jaringan pada separuh akhir pertama sekiranya mahu melangkah ke final.

Wallace berkata pasukan TNB, yang dibarisi ramai pemain kebangsaan, baik pemain senior mahupun pemain muda, mempunyai kepakaran tertentu ketika beraksi di padang dan ia perlu diberi perhatian.

"Saingan peringkat separuh akhir ini sangat berbeza dengan saingan peringkat liga. Saya tahu, pemain-pemain saya sudah bersedia untuk menghadapi TNB," katanya.

Berbeza dengan TNB, pasukan Maybank diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain dari Pakistan yang telah memberikan kelebihan kepada pasukan itu dalam saingan musim ini.

Keempat-empat pemain itu ialah Muhammad Irfan, Shakeel Abbasi, Muhammad Waqas dan Shafqat Rasool, yang masing-masing berpengalaman bermain untuk Pakistan di Sukan Olimpik London tahun lepas.-BERNAMA

Artikel Lain