suria

Beregu Emas Negara Gagal Pertahan Gelaran Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu emas negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong terpaksa mengigit jari apabila dikejutkan oleh pasangan muda senegara Goh V Shem/Lim Khim Wah pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini pada Sabtu.

Selaku juara bertahan dan pilihan utama, Kien Keat/Boon Heong kalah 22-20 dan 21-15 pada pertarungan selama 39 minit.

"Kami tidak terlalu meraikan kemenangan ini kerana menang pada lawan dari negara sendiri melainkan jika kita menang kepada lawan dari negara luar, ia patut diraikan," kata Khim Wah, 23, yang ditemui pemberita selepas mencapai kejuaraan pertama gandingan itu.

Khim Wah bagaimanapun berharap kejuaraan yang dikecapi itu sekurang-kurangnya dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk terus memburu lebih banyak gelaran.

Dalam pada itu, pemain pelapis negara Goh Soon Huat gagal mencipta sejarah apabila kalah kepada pemain Indonesia Alamsyah Yunus 21-10, 9-21 dan 19-21 dalam final perseorangan lelaki.

Dalam set pertama Soon Huat menewaskan lawan dengan mudah apabila Alamsyah banyak melakukan kesilapan dengan membuat hantaran separuh gelanggang.

Namun dalam set kedua, Alamsyah menukar corak permainan dengan melakukan taktik serangan untuk menyamakan kedudukan sebelum memenangi set penentuan pada perlawanan selama 68 minit.

"Pada set ketiga, saya sudah nampak peluang untuk menang tetapi disebabkan terlalu memikirkan untuk menjadi juara menyebabkan saya tidak fikir mengenai teknik permainan," kata Soon Huat.

Kekalahan hari ini menamatkan dominasi Malaysia dalam acara perseorangan lelaki yang sebelum ini dikuasai pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei sejak 2009 hingga tahun lalu.

Pemain remaja dari India, P.V.Sindhu, 17, muncul juara acara perseorangan wanita apabila menundukkan pemain Singapura Gu Juan 21-17, 17-21 dan 21-19 dalam saingan selama 71 minit.

Beregu campuran negara Tan Aik Quan/Lai Pei Jing pula gagal menyekat gandingan Indonesia, Praveen Jordan/Vita Marissa apabila kalah 20-22, 21-13 dan 21-17.

Beregu wanita pula dimenangi oleh pilihan utama Pia Zebadiah Bernadeth/Rizki Amelia Pradipta dari Indonesia setelah menewaskan gandingan senegara Aprilsasi Putri Lejarsar Variella/Vita Marissa 21-17, 16-21 dan 21-17.

Juara acara perseorangan menerima hadiah wang tunai US$9,000 (RM27,298) manakala acara beregu membawa pulang US$9,840 (RM29,846).-BERNAMA

Artikel Lain