suria

Skuasy Individu Asia: Beng Hee Terkandas Pada Pusingan Kedua

KUALA LUMPUR: Pemain senior negara Ong Beng Hee terkandas pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Individu Asia ke-17 di Islamabad, Pakistan, pada Khamis.

Beng Hee, selaku pemain pilihan utama kejohanan, kalah kepada pemain tuan rumah, Farhan Mehboob 4-11, 3-11 dan 11-13.

Bagaimanapun, pemain nombor dua negara Mohd Nafiizwan Adnan terpaksa bekerja keras untuk mara ke peringkat suku akhir ketika menentang seorang lagi pemain Pakistan, Farhan Zaman selepas diheret dalam lima set.

Mohd Nafiizwan bermula dengan baik pada set pertama dengan 11-7 tetapi pada dua set berikutnya tunduk kepada Farhan 5-11 dan 9-11.

Beliau kembali mendapat rentak pada set keempat apabila dengan mudah memenangi set itu dengan 11-3 dan terus menguasai perlawanan pada set kelima dengan 11-9. Sementara seorang pemain lagi pemain negara Muhamad Asyraf Azan turut mara ke suku akhir selepas mengalahkan seorang lagi pemain Pakistan, Ali M.S.Bukhari, 9-11, 5-11, 11-2, 11-7 dan 11-7.

Dalam kategori wanita, ketiga-tiga pemain negara Low Wee Wern, Delia Arnold dan Zulhijjah Azan mara ke peringkat suku akhir esok.

Pemain nombor dua negara, Wee Wern dengan mudah mengatasi Mihiliya Methasarani dari Sri Lanka dengan 11-2, 11-4 dan 11-2 manakala Delia membenam pemain Pakistan Rushna Mehboob dengan kerputusan 11-0, 11-8 dan 11-6.

Bagaimanapun, Zulhijjah terpaksa mengharungi perlawanan lima set ketika menentang Li Dongjin dari China sebelum berjaya menempah tempat ke peringkat suku akhir.

Beliau menang 12-10, 9-11, 11-8, 9-11 dan 11-5.

-BERNAMA

Artikel Lain