suria

MUSS: Peluang Bermain Seperti Man United Hujung Bulan Ini

Sebahagian peserta muda yang menyertai program MUSS baru-baru ini.
Sebahagian peserta muda yang menyertai program MUSS baru-baru ini.
Sebahagian peserta muda yang menyertai program MUSS baru-baru ini.

SELEPAS sambutan menggalakkan program Sekolah Bola Sepak Manchester United (MUSS) yang berlangsung di Singapura, Vietnam dan juga Indonesia sebelum ini, kini program yang mula dilaksanakan di Asia Tenggara pada November 2008 ini akan diadakan di Malaysia pada 31 Mei hingga 2 Jun ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO), One United Asia Sdn Bhd, Rizal Azim berkata, buat pertama kali program yang bertapak di Singapura ini akan menemui pemain-pemain muda di sini.

"Peluang keemasan kepada pemain-pemain muda berusia 7 hingga 16 tahun yang mana mereka akan mempelajari teknik-teknik permainan seperti yang digunakan oleh juara 20 kali Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

"Program ini bukan seperti program-program bola sepak yang lain kerana ia mendapat sentuhan khas daripada jurulatih-jurulatih bertauliah dari kelab Man United.

"Mereka akan mengajar peserta-peserta seperti yang diterapkan kepada pemain terkenal United, Wayne Rooney, Patrice Evra, Robin van Persie mahupun Javier Hernandez," jelasnya mengenai program yang pertama kali diadakan di Malaysia ini.

Program pertama ini akan diadakan di Pusat Sukan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Menurut Rizal, Kirkwall Sports Pte Ltd (Singapura) merupakan pihak rasmi yang mendapat hak bagi MUSS di Asia Tenggara.

Pengarah Eksekutif Kirkwall Sports Pte Ltd, Abdul Raheem berkata, pihaknya gembira kerana dapat membawa program ini ke Malaysia di bawah pengurusan One United Asia berdasarkan populariti sukan bola sepak serta sokongan terhadap pasukan Man United di sini.

Sementara itu, sehingga kini lebih kurang 30 peratus penyertaan telah diterima oleh pihak One United Asia.

"Pihak kami yakin jumlah penyertaan akan bertambah menjelang penghujung bulan ini sebelum kursus tiga hari itu bermula.

"Pendaftaran peserta boleh dibuat di laman web kami www.oneunitedasia.com.

"Pendaftaran sebanyak RM1250 setiap peserta dan mereka bakal menerima peralatan dan pakaian Nike bagi program ini.

"Selain itu, sijil juga akan diberikan kepada setiap peserta, malah lebih menarik lagi dua orang peserta terbaik akan berpeluang ke Old Trafford bagi merasai sendiri pengalaman bermain di sana.

"Peserta tersebut akan dipilih berdasarkan Cabaran Kemahiran MUSS yang disediakan," jelas Rizal.

Tambah Rizal sempena dengan kejayaan pasukan Man United sebagai juara EPL musim ini, sebanyak 20 peratus diskaun pendaftaran akan diberikan bermula 1 hingga 15 Mei ini.

"Untuk mendapatkan diskaun ini, peserta perlu memasukan kod MUSSKL 020 ketika pendaftaran dibuat," tambahnya.

MUSS merupakan program yang telah dilaksanakan sejak tahun 1999 bertapak di Old Trafford, Manchester United sebelum melebar sayapnya ke seluruh dunia.

Sehingga kini, sejumlah 90,000 pemain-pemain muda telah dilahirkan di seluruh dunia dengan corak permainan seperti pasukan Man United hasil tunjuk ajar jurulatih-jurulatih bertauliah dari kelab itu.

MUSS merupakan program kerjasama dengan Akademi MUFC.

Artikel Lain