suria

Hafizh Syahrin Raih Slot 'Wild Card' Moto2 di MotoGP Perancis

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hafizh Syahrin Abdullah mara setapak lagi apabila dipilih untuk mengisi slot 'wildcard' Moto2 pada perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Perancis di Litar LeMans, pada 17 hingga 19 Mei ini.

Pelumba dari pasukan Petronas Raceline Malaysia itu menjadi pelumba pertama negara yang beraksi di bawah tiket wildcard di luar negara.

"Saya menamatkan pusingan pertama kelas Moto2 di Kejuaraan CEV Repsol Sepanyol baru-baru ini dengan keputusan yang agak mengecewakan, namun saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi sebaliknya ingin mempersiapkan diri sepenuhnya untuk menghadapi cabaran baru di LeMans nanti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya, pada Khamis .

Hafizh Syahrin berkata pasukannya sedang bekerja keras mengatur segalanya termasuklah menyediakan peralatan yang sepatutnya bagi menghadapi perlumbaan itu.

"Saya akui bukan mudah untuk berhadapan dengan pelumba-pelumba lain di litar yang asing kepada saya ini, namun saya bersedia untuk menyahut cabaran ini dan pada masa sama akan berusaha untuk mencari pelarasan terbaik sebelum menghadapi minggu perlumbaan nanti," katanya. Beliau berkata perlumbaan Moto2 bukanlah satu perlumbaan yang mudah, malah sangat berbeza dengan perlumbaan-perlumbaan lain.

Beliau berkata selain faktor jentera, kualiti pelumba juga perlu diambil kira dalam menentukan kemenangan dengan saingan Moto2 merupakan perlumbaan paling sukar di antara ketiga-tiga kelas perlumbaan.

Sementara itu, pengurus Petronas Raceline Malaysia, Barry Leong berkata Hafizh Syahrin perlu berlumba atas tiket wildcard sebanyak mungkin pada tahun ini dan berhadapan dengan pelumba-pelumba ternama dunia dapat membantu peningkatan pemanduannya.

Selain perlumbaan di Litar LeMans, pasukan Petronas Raceline Malaysia juga turut memohon kepada promoter MotoGP yang lain untuk mendapatkan slot wildcard untuk Hafizh Syahrin dan setakat ini pasukan itu masih belum mendapat lampu hijau lagi. -BERNAMA

Artikel Lain