suria

Harimau Muda A Masih Tumpul Dengan Kekalahan Kelima di Eropah

KUALA LUMPUR: Kemarau kemenangan menghantui skuad Harimau Muda A pada siri Jelajah Eropah apabila kalah 3-0 kepada kelab Liga Hungary, Kaposvari Rakoczi FC, pada perlawanan persahabatan di Hungary, pada Rabu.

Ia merupakan kekalahan kelima dalam siri ujian persahabatan selama lima bulan berkampung di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember ini.

Sebelum ini, skuad bimbingan Ong Kim Swee kalah 4-1 dan 3-2 dengan kelab Slovakia, MSK Zilina selain di belasah 7-1 oleh skuad bawah 21 tahun Georgia.

Skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu turut kalah 4-0 kepada kelab divisyen satu Hungary, FGSZ Siofok di Budapest, Hungary, minggu lepas.

Mereka bagaimanapun mengikat skuad bawah 19 tahun (B-19) Slovakia dengan keputusan seri, 1-1 selain terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway pada dua perlawanan awal, Mac lepas.

Skuad negara itu, yang berada di sana sejak Mac lepas, dijangka mengadakan beberapa ujian persahabatan di sana selepas ini sebelum kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Skuad itu dijadual akan menyertai Pestabola Merdeka pada Ogos ini selain menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di Kazan, Russia dari 6 hingga 17 Julai ini. -BERNAMA

Artikel Lain