suria

Cub Prix: Amirul Akui Masih Banyak Cabaran

Amirul (tengah) ketika meraih juara Pusingan 1 baru-baru ini.
Amirul (tengah) ketika meraih juara Pusingan 1 baru-baru ini.
Amirul (tengah) ketika meraih juara Pusingan 1 baru-baru ini.

PELUMBA Motul Yamaha YY Pang, Tengku Amirul Haffiruddin tidak terlalu memikirkan tentang pemburuan mahkota CP115 menjelang pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Hang Jebat, Melaka, Sabtu dan Ahad ini.

Meskipun mencipta kejutan dengan menjuarai pusingan pertama di Pulau Pinang baru-baru ini, Amirul beranggapan saingan masih di peringkat awal dan masih banyak cabaran yang perlu ditempuhi.

Apatah lagi pelumba kelahiran Terengganu itu pernah menempuhi musim yang kurang memuaskan ketika beraksi dalam kategori sama pada musim 2011 setelah sekadar berada di tempat ke-19 keseluruhan dan gagal untuk menangani cabaran ramai pelumba-pelumba berpengalaman ketika itu.

"Saya cukup gembira dengan kemenangan di Batu Kawan tetapi pada masa sama tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan tersebut kerana saingan masih di peringkat awal musim. Masih ada sembilan perlumbaan yang perlu dihadapi dan pastinya semakin mencabar," kata pelumba berusia 17 tahun itu.

"Lihat sahaja pada perlumbaan lepas, walaupun saya muncul juara, tetapi Hafiz Nor Azman (PETTRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) begitu hampir dengan saya. Malah dia dapat merebut petak pertama perlumbaan cuma mujurlah saya dapat bermula dengan baik dan berjaya mendahului Hafiz dari awal perlumbaan."

Katanya, buat masa sekarang sukar baginya untuk yakin merebut takhta Kejuaraan musim ini.

"Saya juga tidak mahu terlalu memikirkannya. Saya lebih selesa memberi perhatian untuk setiap pusingan perlumbaan dan memberi aksi terbaik setiap kali berada di atas litar, tidak perlulah memikirkan tentang sesuatu yang masih belum pasti," jelasnya.

Gelaran juara membolehkan Tengku Amirul untuk mendahului kedudukan keseluruhan CP115 dengan 25 mata manakala Hafiz di kedudukan kedua, 20 mata sambil Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga, 16 mata.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain