suria

Terbuka India: Chong Wei Azam Raih Juara Sebagai Hadiah Untuk Anak

NEW DELHI: Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei berazam merampas kembali gelaran juara Terbuka Yonex Sunrise India sebagai hadiah untuk bayi lelakinya Kingston Lee.

"Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memenangi gelaran juara kejohanan ini untuk bayi saya," katanya kepada pemberita selepas memenangi pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Yonex-Sunrise India 2013 dengan mengetepikan pemain Ireland Scott Evans 21-16 dan 21-5 dalam masa 23 minit.

Beliau pernah menjuarai kejohanan ini pada 2011.

Chong Wei akan bertemu pemain Jepun Kazumasa Sakai pada pusingan kedua pada Khamis.

Ditanya perkara yang mendorongnya menyertai kejohanan itu walaupun dibenarkan tidak berbuat demikian oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemenang pingat perak sukan Olimpik dua kali ini berkata: "Yonex adalah penaja utama saya dan oleh itu saya perlu menyokong mereka, selain ia merupakan kejohanan penting di India.

"Saya memang merindui anak saya, tapi ini sudah jadi tugas saya," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain