suria

Piala AFC: Ketiadaan Forkey Doe Beri Kesan Kepada Persembahan Selangor

SHAH ALAM: Ketiadaan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe yang dilanda kecederaan serius memberi kesan kepada jentera serangan Selangor.

Ketua jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berkata keputusan seri 2-2 yang dicatatkan skuad kendaliannya ketika bertemu wakil India, Kingfisher East Bengal FC pada saingan kelima kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini malam Selasa jelas mengecewakan beliau.

"Saya lihat ada pemain yang mempamerkan permainan menarik dan tidak kurang yang menyajikan aksi mengecewakan...Ramzul (Zahini Adenan) yang diletakkan di jentera serangan juga kurang berfungsi.

"Saya akui ketiadaan (Francis) Forkey Doe (yang ditimpa kecederaan serius) jelas melemahkan jentera pasukan Selangor," katanya.

Wakil kelab India berjaya membolosi gawang skuad Gergasi Merah menerusi jaringan penyerang import dari Nigeria, Penn Ikechukwu Orji pada minit ke-22 dan Lalrindika Ralte pada minit ke-53 manakala dua gol Selangor disumbangkan oleh Abdul Shukur Jusoh pada minit ke-79 dan Adib Aizuddin Abdul Latif pada masa tambahan separuh masa kedua.

Irfan berkata beliau mahu anak didiknya mencatatkan kemenangan ke atas wakil Singapura, Tampines Rovers pada aksi terakhir di tempat lawan pada 30 April ini seandainya masih berhasrat menempah slot ke pusingan kedua Piala AFC.

Sementara itu Ketua Jurulatih Kingfisher East Bengal FC Trevor James Morgan gembira dengan persembahan anak didiknya dalam perlawanan menentang Selangor malam ini.

"Saya gembira kerana kami melayakkan diri ke pusingan kedua Piala AFC dan saya harap kami dapat meneruskan momentum ini dalam perlawanan ini," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain