suria

Dua Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan Ditahan Polis

SEREMBAN: Dua penyokong bola sepak Negeri Sembilan ditahan polis selepas tamat perlawanan bola sepak Liga Super antara Negeri Sembilan dan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Supt Muhamad Hanifah Abdul Malek berkata mereka yang berumur 27 dan 30 tahun itu ditahan kerana cuba merempuh halangan polis ketika menyuraikan kira-kira 100 penyokong bola sepak pasukan tuan rumah yang membuat protes terhadap keputusan perlawanan.

"Kejadian itu berlaku 11.30 malam apabila 100 penyokong bola sepak Negeri Sembilan membuat protes terhadap keputusan perlawanan dan juga jurulatih import Negeri Sembilan Divaldo Alves. Perlawanan itu berkeputusan seri tanpa jaringan dan setakat ini Negeri Sembilan berada dalam kedudukan tercorot senarai liga," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Katanya akibat daripada protes itu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah membuat kawalan terhadap jurulatih dan pemain yang ingin keluar daripada bilik persalinan (meninggalkan) stadium.

Katanya arahan telah dikeluarkan supaya penyokong berkenaan bersurai, tetapi arahan ini tidak diendahkan dan keadaan pada ketika itu semakin tegang dan penyokong bertindak agresif apabila berlaku tolak-menolak.

"Dalam keadaan ini penyokong tersebut telah merempuh halangan polis dan semasa itu pihak polis telah berjaya menahan dua orang penyokong berkenaan. Kedua-dua lelaki terbabit telah direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosidur Jenayah dan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan selanjutnya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 kerana mengganggu penugasan polis," katanya.

Sementara itu, Muhamad Hanifah yang juga jurucakap media bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) IPK negeri menasihatkan parti politik yang ingin mengadakan ceramah supaya memohon permit daripada Ketua Polis Daerah.

Katanya parti politik yang telah mendapat kelulusan permit untuk berceramah, mereka boleh mula berceramah selepas hari penamaan calon iaitu pada Sabtu dan ceramah mesti berakhir sebelum 12 tengah malam setiap hari sehingga hari mengundi pada 5 Mei.

Katanya pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang terdiri daripada pihak polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan parti-parti politik akan memantau pamasangan poster, bendera dan papan iklan parti yang bertanding.

"Tindakan akan diambil terhadap mana-mana parti politik yang menyalahi undang-undang ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

ARRC: Azlan Kejar Podium

Artikel Lain