suria

Liga Super: Lions XII Kembali Rampas Takhta Liga

KUALA LUMPUR: Pasukan jemputan Singapura, Lions XII kembali merampas kedudukan sebagai pendahulu Liga Super selepas mengalahkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 3-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam Sabtu.

Lions XII memintas pasukan Johor Darul Takzim dengan kelebihan dua mata selepas mengutip 27 mata daripada 13 perlawanan.

Skuad bimbingan V. Sundramoorthy membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi Shahfiq Ghani sebelum kapten pasukan, Shahril Ishak mengandakan jaringan pada minit ke-45.

ATM berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pemain importnya, Marlon Alex James pada minit ke-60.

Kegembiraan skuad bimbangan B. Satianathan tidak kekal lama apabila penyerang berbisa Lions XII, Shafiq mengesahkan kemenangan pada minit ke-70.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan T-Team tidak mensia-siakan peluang bermain di halaman sendiri apabila mengalahkan Perak 2-0.

Gol pertama pasukan tuan rumah hadir pada minit ke-34 hasil jaringan Ahmad Takhiyuddin Roslan sebelum Abdul Latif Suhaimi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75. Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Terengganu mengalahkan Felda United 2-1.

Sementara itu, dalam satu perlawanan saingan Liga Perdana, Sarawak mengalahkan Perlis 2-0 di Stadium Negeri Sarawak.

Dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Joseph Kalang Tie pada minit ke-13 dan Bobby Gonzales pada minit ke-38.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain