suria

KL Kekal Juara Keseluruhan Kejohanan Boling Antara Negeri

PETALING JAYA: Kuala Lumpur berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Boling Antara Negeri ke-26 di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, di sini malam Khamis.

Skuad ibu negara itu berjaya mengumpul tijuh pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa dengan meninggalkan Pahang di tempat kedua dengan tiga emas dan sebutir perak. "Pencapaian kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah penyertaan Kuala Lumpur dalam kejohanan tahunan ini," kata pengurus pasukan Kuala Lumpur, Tuan Idzawi Raja Ismail.

Pada hari terakhir kejohanan, skuad Kuala Lumpur menambah lima lagi pingat emas melalui acara berpasukan lelaki dan wanita, lelaki keseluruhan (All- Events), remaja lelaki keseluruhan dan remaja perempuan berpasukan.

Pada acara sebelah malam, pemain Kuala Lumpur memperolehi pingat emas melalui acara berpasukan dan keseluruhan lelaki.

Kuartet ibu kota yang terdiri daripada Mohd Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Syimir Abdul Razak, Muhd Rafiq Ismail dan Timmy Tan Chye Chern berjaya melakukan 5,241 jatuhan pin.

Ketinggalan 98 pin di belakang ialah pasukan Selangor dengan 5,143 jatuhan pin untuk pingat perak dan gangsa menjadi milik Johor dengan 4,851 pin.

Sementara itu, pemenang pingat emas Kejohanan Piala Dunia Qubica AMF 2012, Muhd Syafiq Ridhwan berpuas hati dengan kejayaan meraih pingat emas acara keseluruhan lelaki.

"Tumpuan saya kini adalah untuk mengulangi kejayaan selaku juara kebangsaan. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan mutu permainan saya kali ini dengan dua pingat emas dan dua perak.

"Saya akui saya terlepas peluang untuk meraih pingat dalam acara individu kerana agak lewat melakukan penyesuaian," kata Muhd Syafiq yang kali terakhir muncul juara kebangsaan pada 2009. Kejayaan pasukan lelaki Kuala Lumpur itu kemudiannya diikuti kuartet wanita Alisha Iman Cheong, Nur Umirah Raduan, Hee Kar Yen dan Sharon Koh raih emas dengan mengumpul 4,863 jatuhan pin.

Pingat perak menjadi milik pasukan Selangor dengan 4,729 manakala pingat gangsa menjadi milik Perak dengan 4,623 pin.

Terdahulu, Kuala Lumpur meraih pingat emas melalui kuartet remaja dan Yusuf Abdul Raof dalam acara remaja lelaki keseluruhan.

Acara keseluruhan wanita dimenangi pemain kebangsaan, Esther Cheah yang mewakili Pulau Pinang dengan mengumpul 3,835 jatuhan pin.

Kesemua pemenang pingat emas acara keseluruhan bagi kategori lelaki, wanita, remaja lelaki dan remaja perempuan melayakkan diri secara automatik dalam acara Masters, Sabtu ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain