suria

Darren Liew Ketuai Tujuh Wakil Negara Ke Suku Akhir Kejohanan ABC

KUALA LUMPUR: Pemain nombor dua negara Daren Liew akan menggalas cabaran negara bersama tiga pemain perseorangan dan tiga beregu pada suku akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Taipei Arena, Taiwan.

Pada saingan pusingan kedua hari ini, Liew terpaksa berhempas pulas selama 54 minit untuk menjinakkan pemain kurang ternama dari Korea Selatan, Park Sung Min, dengan keputusan 'rubber-set' 19-21, 21-17 dan 21-16.

Bagaimanapun tumpuan terarah kepada beregu lelaki nombor tiga negara, Goh V Shem dan Lim Khim Wah apabila gandingan itu mengesahkan slot ke Kejohanan Dunia di Guanzhou, China, Ogos ini.

Dalam misi memburu mata ke Kejohanan Dunia, Goh dan Lim berjaya mengejutkan pilihan kelapan dari Jepun, Hirokatsu Hashimoto dan Noriyasu Hirata dengan keputusan 'rubber-set' 21-17, 19-21 dan 21-17.

Mengikut peraturan Kejohanan Dunia, sesebuah negara hanya boleh membariskan tiga beregu yang berada dalam ranking 24 terbaik dunia. Buat masa ini, dua beregu negara sudah layak ke Kejohanan Dunia iaitu beregu nombor dua dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan beregu ranking ketujuh dunia, Hoon Thien How/Tan Wee Kiong.

Goh dan Lim kini menduduki ranking ke-15 dunia manakala gandingan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Mohd Zakry Abdul Latif menduduki ranking ke-17 dunia.

Bagaimanapun, beregu Mohd Fairuzizuan/Mohd Zakry tidak berpeluang memintas ranking Goh dan Lim apabila pemilihan pemain ke Kejohanan Dunia berdasarkan senarai ranking 25 April yang akan dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia.

Dalam pada itu, selain Liew, pemain pilihan ke-10, Goh Wei Feng dan pemain pelapis negara Goh Soon Huat melangkah ke suku akhir dalam acara perseorangan lelaki.

Wei Feng dengan mudah mengatasi wakil Vietnam, Nguyen Hoang Nam dengan keputusan 21-13 dan 21-12 manakala Soon Huat melakukan kejutan dengan mengalahkan pemain pilihan ke-14, Chou Tien Chen dari Taiwan dengan keputusan 21-18 dan 21-4. Liew and Soon Huat bakal berdepan laluan getir ke separuh akhir selepas masing-masing dijadualkan bertemu dengan dua pemain dari China iaitu pilihan kedua, Du Pengyu dan pilihan utama, Chen Long pada pusingan suku akhir, esok.

Bekas juara beregu remaja dunia, Nelson Heg Wei Keat/Teo Ee Yi pula gagal meneruskan saingan selepas kalah 21-17, 21-23 dan 17-21 kepada juara All-England, Liu Xiaolong dan Qiu Zihan dari China.

Dalam acara perseorangan wanita, Sonia Cheah menjadi wakil tunggal negara apabila mengejutkan pilihan keenam dari Korea Selatan, Bae Yeon Ju dengan kemenangan 18-21, 26-24 dan 21-16.

Beregu wanita pelapis kebangsaan, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho turut menempah slot ke pusingan suku akhir selepas menundukkan wakil Indonesia, Suci Rizky Andini dan Della Destiara Haris dengan keputusan 21-19 dan 21-17.

Amelia yang bergandingan dengan Teo Ee Yi dalam acara beregu campuran turut layak ke suku akhir selepas mencatatkan kemenangan 21-16 dan 21-18 ke atas gandingan Singapura, Yi Liu dan Yao Lei. -BERNAMA

Artikel Lain