suria

Skuad Sepak Takraw Negara Semakin Matang

KUALA LUMPUR: Walaupun masih belum menetapkan sasaran untuk Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tetap optimis dengan kemampuan skuad negara untuk membawa pulang pingat tanpa mengira warna.

Setiausaha Kehormat PSM, Datuk Arshad Yahaya berkata ini berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan barisan baharu skuad sepak takraw negara yang giat menjalani latihan bersama ketua jurulatih kebangsaan, Jamaluddin Hassan.

"Saya menerima laporan positif daripada Jamaluddin bahawa skuad bimbingannya semakin matang, namun pada masa sama PSM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan prestasi pemain sentiasa berada di tahap yang baik," katanya.

Arshad berkata pihaknya akan melakukan penilaian kedua pada Jun ini bagi mengukur tahap persediaan atlet sepak takraw sebelum mereka dibenarkan menggalas cabaran di Myanmar.

Menurutnya mutu persembahan skuad negara dilihat semakin matang apabila berjaya memberi saingan sengit kepada pasukan Thailand walaupun hanya sekadar mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Hatyai, Jumaat lalu.

"Kita dapat melihat peningkatan yang ditunjukkan pemain, namun mereka masih perlu meningkatkan usaha kerana semua pemain mempunyai masa depan cerah," jelasnya.

Pada Sukan SEA Indonesia 2011, prestasi skuad negara kurang menyerlah apabila hanya meraih dua pingat gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain