suria

Shinya Nakano Jurulatih Baru Piala Impian Asia (ADC)

Shinya Nakano
Shinya Nakano
Shinya Nakano

SAINGAN Piala Impian Asia yang memasuki musim kedua di jangka bertambah sengit dengan kehadiran pelumba-pelumba muda berbakat dari seluruh Asia pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal asia PETRONAS (ARRC) 2013 di Litar Sepang pada 19 hingga 21 April ini.

Daripada 17 pelumba yang bertanding musim ini, tujuh puluh peratus merupakan pendatang baru dan mereka berasal dari serata Asia, di antaranya Jepun, Indonesia, Thailand, Malaysia, Taiwan, Cina, Singapura, Sri Lanka, Filipina dan India.

Sementara itu, beberapa graduan tahun lalu akan kembali bersaing dengan muka-muka baru bagi meningkatkan lagi tahap persaingan. Pelumba-pelumba ini adalah naib juara 2012, Hiroki Ono dari Jepun, Mohd Fitri Ashraf Razali (Malaysia), Kanatat Jaiman (Thailand) dan Mohd Jazil Juraimi (Singapura).

Dan seperti tahun lalu, para pelumba ADC ini akan bersaing di atas jentera Honda CBR 250R, model produksi yang mencerminkan kelas Moto3 seperti mana diguna pakai dalam Kejuaraan MotoGP.

Lebih menarik lagi, para pelumba musim ini akan dilatih oleh bekas pelumba MotoGP dan pemenang Kejuaraan Superbike Dunia, Shinya Nakano yang menggantikan bekas pelatih, Makoto Tamada yang kini bersaing di dalam kelas SuperSports 600cc.

“Piala Impian Asia kali ini pastinya menjanjikan aksi menarik buat para peminat sukan permotoran kerana kali ini kami dapat melihat pelumba-pelumba dari 10 negara berbeza bersaing secara adil.

"Walaupun masih mentah kepada dunia perlumbaan, kebanyakan mereka menunjukkan potensi besar ketika ujian pra-musim Februari lalu dan saya yakin, dengan lebih banyak pendedahan, mereka boleh terus memajukan karier mereka lagi," jelas pelumba berusia 36 tahun itu.

Sementara itu, graduan musim lepas, S.Sasitharen, Hiroki Ono dan Denny Triyugo turut menjalani pelbagai ujian dan latihan di atas jentera Moto3 bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran lebih besar.

Artikel Sebelum

Artikel Lain