suria

KBS Sasar Lahir 15 Atlet Kelompok 10 Terbaik Dunia

KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasar untuk melahirkan 15 atlet dalam kelompok 10 terbaik dunia, iaitu peningkatan seramai lima orang atlet seperti yang disasar tahun lalu.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata negara sudah mempunyai barisan jaguh terkenal dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David yang mengukir nama sebagai juara dalam sukan badminton dan skuasy.

"Sasaran atlet yang diletakkan bertambah tahun ini berbanding 10 orang yang disasarkan tahun lepas dan ia adalah petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian untuk tahun ini.

"Kita akan memberi tumpuan dalam beberapa bidang sukan seperti renang, hoki, memanah, sepak takraw dan usaha pembangunan pemain untuk masa hadapan akan tetap diteruskan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Cari Juara Jelajah Terengganu 2013 di Bandar Seri Bandi di sini Sabtu.

Mengulas mengenai program pencarian bakat itu, beliau berkata ia akan diadakan di setiap daerah di negeri ini bagi mencungkil bakat sukan di kalangan remaja.

"Program pencarian bakat ini diadakan mengikut jadual walaupun ketika musim demam pilihan raya umum kini. Ia tidak menjadi penghalang kerana pembangunan atlet sukan perlu diteruskan.

"Menerusi program ini, anak-anak muda (pelajar sekolah) yang datang dapat dikenal pasti apa yang ada dalam diri mereka untuk dibangunkan dan digilap agar kita boleh hasilkan lebih banyak atlet pelapis.

"Malah kehadiran tokoh-tokoh sukan seperti Azizulhasni Awang dan Anuar Manan (atlet berbasikal dari Terengganu) memberi lebih semangat kepada mereka yang hadir," katanya.

Program Cari Juara ini bertujuan mencari bakat baharu dalam bidang sukan iaitu kanak-kanak yang berumur lingkungan tujuh hingga 14 tahun di seluruh Terengganu dalam beberapa jenis sukan seperti berbasikal, bola sepak, olahraga, dan memanah.

Hasil daripada program ini akan menyaksikan bakat yang terpilih akan ditempatkan di pusat latihan Tunas Harapan Majlis Sukan Negeri Terengganu, Pelapis Negeri Majlis Sukan Negara serta Sekolah Sukan Negeri Terengganu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain