suria

Pemenang CIMB Classic Terima Jemputan Ke US Masters

KUALA LUMPUR: Penganjur kejohanan golf berprestij CIMB Classic, Kumpulan CIMB, mengumumkan bahawa pemenang pertandingan itu akan diberikan pengecualian Pemenang Kejohanan untuk menyertai The Masters Tournament, Augusta National Golf Club, bermula 2014.

Kumpulan CIMB dalam kenyataan pada Sabtu berkata ini sekali gus menyaksikan pemenang CIMB Classic 2013 akan menerima jemputan ke Masters Tournament 2014.

Turut diumumkan, penganugerahan mata Ryder Cup oleh PGA of America untuk peserta Amerika Syarikat (US) yang menyertai CIMB Classic.

"Ini berita hebat dan memperkukuh status kelas dunia CIMB Classic," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Nazir Razak.

"Menerusi kejohanan yang memberikan mata FedExCup, status pengecualian je Jelajah PGA dan The Masters, selain mata Ryder Cup, CIMB Classic dan Malaysia kini dimuatkan dalam kalendar acara golf dunia," katanya.

Bagi setiap US$1,000 (kira-kira RM3,041) hadiah wang yang dimenangi, satu mata akan diberikan kepada pemain US yang bakal bersaing untuk mengisi sembilan (daripada 12) kedudukan dalam pasukan Amerika untuk Ryder Cup 2014.

Ini merupakan tambahan kepada kejohanan yang merupakan acara Mata Rasmi FedExCup bagi Jelajah PGA, dan merupakan sebahagian daripada kejohanan musim panjang FedExCup 2013-2014.

Pemenang CIMB Classic juga mendapat pengecualian dua tahun untuk acara Jelajah PGA.

"Keterujaan semangkin rancak menjelang kejohanan, dengan CIMB Classic menjadi acara rasmi Jelajah PGA," kata Pengarah Eksekutif Jelajah PGA CIMB Classics dan PGA Tour, Todd Rhinehart.

"Berikutan Augusta National Golf Club dan The Masters secara rasmi memperakui CIMB Classic sebagai sebahagian daripada proses kelayakan, kejohanan itu semakin mendapat perhatian dalam jangka masa yang singkat," kata Rhinehart. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain