suria

Liga Super: Norsharul Penyelamat Maruah Johor DT Di Terengganu

KUALA LUMPUR: Pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) FC hanya mampu mencapai kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu pada perlawanan pusingan kedua Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Jumaat.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Fandi Ahmad itu mengumpul 22 mata selepas 12 perlawanan namun kedudukan tangga kedua mereka dijangka berubah sekiranya Selangor mengatasi Felda United di Stadium Shah Alam, malam Sabtu.

Penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha menyelamatkan maruah pasukan Harimau Selatan itu dengan menjaringkan gol tunggal pada minit ke-25.

Di Stadium TLDM, Lumut, Perak gagal memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri apabila hanya mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan pasukan Selangor PKNS.

Penyerang import PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh perlawanan sebelum Perak menyamakan kedudukan menerusi Abdul Hadi Yahya pada minit ke-26.

Bagaimanapun, Perak mendahului perlawanan dengan gol kedua menerusi pemain import baharunya, Paulo Rangel pada minit ke-56 sebelum Ronaldinho menyelamatkan maruah pasukan pelawat dengan gol penyamaan pada minit ke-76.

Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana, Sime Darby terus mmengekalkan kedudukan di persada liga selepas mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pemain import dari Croatia, Karlo Primorac muncul wira skuad bimbingan Ismail Zakaria itu dengan menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-50 dan 75 untuk membolehkan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 12 perlawanan.

Pesaing terdekat mereka, Sarawak gagal merapatkan jurang mata selepas terikat 1-1 dengan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Skuad Hijau Kuning terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol kapten pasukan, Badrol Bakhtiar pada minit ke-45 sebelum Sarawak membalas jaringan menerusi Ivan Babic pada minit ke-70.

Terdahulu, Sarawak terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd Azizan Baba dibuang padang pada minit ke-27 kerana mengutip kad kuning kedua daripada pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad.

Johor FA pula berpesta gol selepas membelasah pasukan SPA Putrajaya FC, 5-1 Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Penyerang import dari Argentina, Juan Muriel Orlando muncul wira skuad Harimau Selatan dengan jaringan hatrik pada minit ke-13, 23 dan 74 manakala dua lagi gol pasukan itu disumbangkan oleh Md Farid Ideris pada minit ke-70 dan Muhd Zamri Hassan pada minit ke-90.

Gol saguhati pasukan pelawat dijaringkan oleh Mohd Arsyah Mohd Ayob pada minit ke-34.

SPA Putrajaya menerima nasib malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-64 selepas Fadzly Iskandar Adnan mengutip kad kuning kedua.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Perlis 3-2.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Pos Malaysia FC menumpaskan pasukan tercorot liga, NS Betaria FC 4-0 manakala UiTM FC mengalahkan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain