suria

Golf: Michelle Koh Juara Tertutup Wanita Amatur Malaysia

Michelle Koh
Michelle Koh
Michelle Koh

SHAH ALAM: Bekas juara Golf Terbuka Wanita Amatur Malaysia, Michelle Koh merangkul kejuaraan Tertutup Wanita Amatur dan Remaja Wanita Malaysia 2013 di Glenmarie Golf & Country Club, dekat sini, Khamis.

Pemain berusia 22 tahun itu melakarkan tiga bawah par 69 pada pusingan akhir, susulan 70 semalam, untuk mengumpul lima bawah par 139 pada saingan dua pusingan itu.

Beliau menerima trofi daripada penaung diraja Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA), Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

"Saya bermain dengan baik sepanjang kejohanan dan tidak menghadapi sebarang tekanan," kata Michelle.

Beliau berkata Kejohanan Tertutup Wanita Malaysia itu membantu beliau mempersiapkan diri untuk menghadapi Piala Queen Sirikit 2013 dari 17 hingga 19 April ini di Sunrise Golf & Country Club di Taiwan.

Tempat kedua disandang oleh Nur Durriyah Damian dengan ketinggalan 11 pukulan di belakang Michelle.

"Saya gembira dapat tempat kedua walaupun tidak beraksi dengan baik. Saya perlu meningkatkan latihan dan mengambil bahagian dalam banyak kejohanan," kata pemain berusia 18 tahun itu yang pertama kali akan menyertai Piala Queen Sirikit minggu depan.

Sementara itu, gelaran juara Remaja Wanita Tertutup menjadi milik Nur Syazani Amalia Mohd Shahzan apabila mencipta catatan lapan di atas par 152 selepas saingan dua pusingan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain