suria

Selangor Hidup Peluang Ke Suku Akhir

SHAH ALAM: Selangor menghidupkan peluang ke suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas pasukan dari Vietnam, Sai Goh Xuan Thanh pada perlawanan keempat saingan Kumpulan H di Stadium Shah Alam di sini malam Selasa.

Kemenangan hari ini bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Selangor yang masih menghuni tangga ketiga daripada empat pasukan dengan mengumpul empat mata selepas empat perlawanan.

Selangor bermula garang apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma yang dilakukan pemain importnya Michal Kubala seawal minit ke-8.

Bersambung di separuh masa kedua, Gergasi Merah meneruskan serangan bertali arus ke kubu lawan dan menambah gol kedua menerusi seorang lagi pemain import Francis Forkey Doe pada minit ke-63.

Mohd Amri Yahyah menambah duka pasukan pelawat apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-72.

Pasukan lawan bimbingan Tran Tien Dai mengurangkan defisit jaringan menerusi gol yang dijaringkan Moses Oloya pada minit ke-80.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan pasukan berkenaan yang berada di tangga kedua dengan tujuh mata selepas empat perlawanan.

Selangor dijadualkan menentang East Bengal dari India di Stadium Shah Alam pada 23 April ini.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang sama pasukan East Bengal dari India menewaskan Tampines Rovers dari Singapura 2-1 di Stadium Vivekanada Yuba Bharati Krirangan, Kolkata. -BERNAMA

Artikel Lain