suria

Perlawanan Amal Malaysia-Palestin Berjaya Kutip RM1.14 Juta

KUALA LUMPUR: Perlawanan persahabatan amal bola sepak antara Malaysia dan Palestin di Stadium Darul Makmur, Kuantan, bulan lepas, berjaya mengutip RM1.14 juta, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, daripada jumlah sumbangan pihak korporat dan jualan tiket itu, sebanyak RM415,635 disalurkan kepada Tabung Palestin manakala RM717, 891.75 disumbangkan kepada Tabung Wira Lahad Datu.

"Manakala hasil kutipan bergerak yang dijalankan semasa perlawanan di sekitar Stadium Darul Makmur yang berjumlah RM6,646 akan disalurkan kepada Perdana Global Peace Foundation (PGPF)," katanya pada majlis penyerahan sumbangan tersebut di sini, Rabu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menyerahkan sumbangan Tabung Palestin kepada Duta Palestin di Malaysia, Abdelaziz Aboughosh bagi tujuan pembangunan sukan bola sepak di negara berkenaan.

Cek sumbangan kepada Tabung Wira Lahad Datu itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.

Pada perlawanan persahabatan itu pada 26 Mac lepas, skuad Harimau Malaya kalah 2-0 kepada pasukan Palestin. - BERNAMA

Artikel Lain