suria

Piala AFC: Selangor Sasar Kutip Tiga Mata Menentang Kelab Vietnam

SHAH ALAM: Selangor mahu menghidupakan semula peluang tipis ke suku akhir Piala AFC 2013 dengan menyasarkan tiga mata penuh apabila melayan kelab Vietnam, Sai Gon Xuan Thanh, pada aksi keempat Kumpulan H di Stadium Shah Alam pada Selasa.

Ketua jurulatihnya Irfan Bakri Abu Salim berkata kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor Darul Takzim (Johor DT) pada suku akhir pertama Piala FA, Sabtu lepas, boleh dianggap tonik terbaik untuk anak didiknya menebus kekecewaan ke atas lawannya itu.

"Kami yakin mampu mengutip tiga mata pada aksi malam esok...walaupun kalah 1-2 minggu lepas, saya lihat pemain sudah belajar daripada kesilapan dan mereka berjanji untuk mempamerkan aksi menarik pada perlawanan ini," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Minggu lepas, kelab Vietnam itu mengalahkan Selangor 2-1 di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, Vietnam.

Selepas tiga perlawanan, Selangor masih belum mencatatkan sebarang kemenangan selepas kalah 0-1 kepada East Bengal (India), 1-2 kepada Sai Gon Xuan Thanh dan seri 3-3 dengan Tampines Rovers dari Singapura.

Irfan, yang sudah dua musim mengendalikan pasukan Gergasi Merah, berkata beliau akan menurunkan adunan pemain utama dan simpanan pada perlawanan malam Selasa serta menghadapi dua perlawanan penting dalam tempoh terdekat.

Dua perlawanan berkenaan ialah menentang Felda United pada aksi Liga Super, Sabtu ini selain berdepan JDT FC pada aksi timbal balik Piala FA, 16 April ini, dengan kedua-duanya akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

"Mungkin beberapa pemain tonggak akan direhatkan dan pemain simpanan diberikan peluang...namun pemain import seperti Michal Kubala dan Peter Chrappan akan diturunkan untuk mengimbangi kekuatan pasukan lawan yang mempunyai import terbaik," kata Irfan.

Pandangan beliau turut dipersetujui oleh kapten pasukan Selangor, Asraruddin Putra Omar yang menganggap pasukan lawan mempunyai kekuatan dari segi pemain import yang lebih berkualiti.

"Saya lihat keserasian pemain dalam pasukan semakin mantap dan saya yakin pasukan kita akan mengutip tiga mata penuh pada perlawanan ini namun kita harus mengawasi pergerakan pemain import lawan yang mampu memberi ancaman kepada kita," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sai Gon Xuan Thanh, Tran Tien Dai berharap untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri bagi memperkukuhkan peluang ke suku akhir.

"Saya hanya ada 16 pemain di sini berikutan beberapa pemain utama mengalami kecederaan tetapi saya harap dapat mengumpul sekurang-kurangnya satu mata di sini," katanya.

Selepas tiga perlawanan, Selangor menduduki tangga ketiga kumpulan dengan satu mata manakala East Bengal mengungguli kumpulan dengan tujuh mata diikuti Sai Gon Xuan Thanh dengan kutipan mata yang sama.

Tampines Rovers pula tercorot dalam kumpulan empat pasukan itu dengan mengumpul satu mata.

Dua pasukan teratas kumpulan layak ke pusingan suku akhir.

Selepas perlawanan ini, Selangor akan menentang East Bengal di Stadium Shah Alam, 23 April dan perlawanan akhir bertemu Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura, 30 April ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain