suria

Drama Kecil Ketika Peter Butler Terima Salinan Surat Supaya 'Berehat'

Peter Butler
 Peter Butler
Peter Butler

KUALA TERENGGANU: Satu drama kecil tercetus ketika ketua jurulatih T-Team menerima salinan surat supaya 'berehat' ketika sesi latihan pasukannya di sini petang Selasa.

Yang menjadi mangsa dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu di Gong Badak ialah jurugambar sambilan akhbar New Straits Times, Tengku Syamim Tengku Ismail, 21, yang mahu mengambil gambar sesi latihan itu.

Butler yang juga pengurus pasukan T-Team berulang kali menghalau sambil menolak dan mengeluarkan kata-kata kesat seperti 'bodoh' terhadap Tengku Syamim.

Jurulatih berbangsa Inggeris itu sebelum itu menerima surat tersebut daripada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT), Ali Embong.

Tidak habis dengan tindakan Butler, pemain import George Boateng turut campur tangan dengan bertindak menghalag dan merampas kamera Tengku Syamim sehingga beliau mengalami luka ringan.

"Saya enggan melepaskan kamera saya kerana takut akan dirosakkan oleh Boateng dan saya terpaksa menahan kesakitan apabila tangan saya dipulas dan dicakar pula dengan kukunya.

"Akhirnya saya berjaya mempertahankan kamera saya namun saya memang terkejut dengan tindakan pemain tersebut yang saya sangka tidak terlibat dengan jurulatih yang sedang bercakap dengan pegawai pasukan Titans," kata Tengku Syamim kepada pemberita.

Beliau yang tidak menjangka tindakan liar Butler dan Boateng berkata beliau sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kerana tidak mahu perkara seperti itu berulang kepada wartawan atau jurugambar lain di masa hadapan.

Beliau turut berharap pihak pengurusan T-Team mengambil tindakan sewajarnya ke atas jurulatih dan pemain itu kerana tindakan liar mereka terhadap petugas media yang cuma melakukan tugas mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh turut kesal dengan kejadian itu dan berjanji akan melakukan siasatan. "Kami akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terbukti jurulatih dan pemain kami melakukan kesalahan di padang latihan pada Selasa.

"Kami akan mendapatkan keterangan daripada semua yang berada di tempat kejadian sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil," katanya.

Ab Rasid menjelaskan surat itu yang bertujuan untuk merehatkan Butler selama 30 hari yang berkuat kuasa hari ini dihantar kepada jurulatih itu melalui pos berdaftar. "Pegawai kami berada di padang latihan untuk menyerahkan salinan surat tersebut kepada Butler dan kami tidak menyangka ianya berakhir dengan ketegangan. "Surat itu mengandungi arahan supaya Butler berehat dan tidak mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti yang melibatkan pasukan," katanya. Namun menurutnya Butler akan tetap menerima imbuhan gaji dan elaun bulanan lain sementara beliau berehat dan tugasannya sebagai ketua jurulatih akan diambil sementara oleh penolong jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor.

"Keputusan merehatkan Butler diluluskan oleh lembaga pengarah pasukan memandangkan T-Team berada di zon penyingkiran selepas tamatnya pusingan pertama Liga Super. "Kami harap tindakan merehatkan Butler dan pengambilan pemain import baru dalam masa terdekat ini dapat membantu pasukan mencari kemenangan apabila bertandang ke Kuantan Sabtu ini untuk bertemu Pahang," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain