suria

Perlawanan Liga-M Ditangguh Sepanjang PRU13 - Hamidin

SHAH ALAM: Kesemua perlawanan Liga Malaysia (Liga M) akan ditangguhkan ke satu tempoh baharu sewaktu pilihan raya umum (PRU) ke-13 berlangsung bagi membolehkan proses perjalanannya berjalan lancar.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu akan menunggu pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu ini sebelum menetapkan tarikh yang sesuai untuk menggantikan kesemua perlawanan yang ditangguhkan itu.

"Kita memutuskan untuk menangguhkan perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung sewaktu tempoh pilihan raya bagi menyenangkan semua pihak.

"Malahan semua sedia maklum bahawa banyak pihak akan terlibat dengan pilihan raya termasuklah penyokong bola sepak sendiri (yang turut akan mengundi)," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Isnin.

Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM turut mengingatkan mana-mana penyokong untuk tidak membawa masuk sebarang bendera parti politik ke dalam stadium atau berdepan tindakan tegas daripada mereka.

"Larangan ini (membawa masuk bendera parti politik) memang telah lama berkuatkuasa sama ada dalam tempoh pilihan raya atau tidak...jadi bendera parti politik memang tidak dibenarkan untuk dikibar di dalam stadium," katanya.

Sementara itu, Hamidin menasihatkan Persatuan Bola Sepak Negeri dan Kelab yang berhasrat mengambil pemain baharu sama ada tempatan atau import untuk menggunakan tempoh 14 hari pintu perpindahan pemain untuk mendapatkan pemain yang berkualiti.

Jendela perpindahan pemain musim kedua Liga-M bermula hari ini sehingga 22 April ini.

"Kita tidak melanjutkan tempoh 14 hari yang diberikan memandangkan kita sudah menghebahkan mengenai perkara ini kepada pasukan terlibat sebelum bermulanya sepak mula Liga-M termasuklah dalam seminar yang dianjurkan oleh FAM.

"Tiada lanjutan tempoh dan kita tidak akan melayan sebarang rayuan daripada mana-mana pasukan selepas pintu perpindahan pemain ditutup pada 22 April ini," kata Hamidin.

Menyentuh mengenai pasukan Selangor, Hamidin yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata pihaknya sedang mengintai beberapa pemain luar untuk memperkuatkan bahagian pertahanan pasukan selepas pemain importnya, Peter Chrappan dari Slovakia mempamerkan aksi kurang memberangsangkan.

FAS mengambil Chrappan bagi menggantikan bekas pemainnya dari Lubnan, Ramez Dayoub yang digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) kerana terlibat dengan skandal mengatur perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 antara Lubnan menentang Qatar di Beirut, Jun tahun lepas.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa pemain import dari Brazil, Australia dan Sepanyol dan mereka dijangka tiba di sini, minggu ini untuk sesi pemilihan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain