suria

Sukan SEA: Skuad Tinju Latih Tiga Bulan Di Kazakhstan

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) akan menghantar 12 petinju elit untuk berlatih di Almaty, Kazakhstan pada akhir September ini sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA ke-27 di Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini.

Setiausaha Kehormatnya, Mohamad Jani Ismail berkata petinju kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih Azmi Md Yunus dan jurulatih dari Thailand, Prasit Tunjai akan berkampung selama tiga bulan di Kazakhstan sehingga menjelang Sukan SEA.

"Mengikut perancangan, di samping mengikuti latihan tiga bulan di sana, kita akan turut menyertai beberapa kejohanan yang bakal dianjurkan," katanya.

Menurutnya hanya enam petinju sahaja akan dipilih untuk menggalas cabaran negara pada Sukan SEA nanti.

Ketika ini, kesemua petinju masih mengikuti latihan seperti biasa di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara di Taman Keramat, di sini, dan bersiap sedia menghadapi beberapa kejohanan dalam negeri, katanya.

Antara kejohanan yang akan disertai ialah Kejohanan Tinju Piala Malaysia di Sabah dan Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lumut, Perak pada September ini.

Mohamad Jani berkata PTAM menyasarkan pingat dalam acara light heavyweight 81kg, light middleweight 75kg dan light welterweight 64kg pada Sukan SEA nanti untuk mengulangi kejayaan meraih dua emas pada Sukan SEA Laos 2009. BERNAMA

Artikel Lain