suria

Skuad Lawan Pedang Tidak Sertai Sukan Sea 2013 Di Myanmar

KUALA LUMPUR: Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) mengambil langkah drastik dengan tidak menyertai Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember ini, atas alasan mahu memburu tiket awal ke Sukan Olimpik 2016.

Setiausaha Kehormatnya, Riduan Abdul berkata, keputusan tersebut diambil bagi membolehkan atlet negara memberi tumpuan kepada usaha mengumpul mata merit bagi meraih tiket awal ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Beliau memberitahu Bernama pada Khamis bahawa tiga atlet negara akan memberi tumpuan mengumpul mata ke Sukan Olimpik 2016 pada Kejohanan Piala Dunia Sabre Lelaki di Athens, Greece pada 27 dan 28 April ini dan Kejohanan Asia di Shanghai, China pada 4 hingga 9 Jun ini.

Tiga atlet berkenaan iaitu Yu Peng Kean, Nurul Ariezzat Nazreen Ismail dan Adam Nicholas akan beraksi dalam acara individu dan berpasukan acara Sabre.

Riduan berkata, walaupun mereka tidak menyasarkan sebarang pingat pada kedua-dua kejohanan berkenaan namun beliau yakin bahawa atlet negara mampu berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Katanya, sebagai persediaan awal untuk menghadapi dua kejohanan berkenaan, tiga atlet tersebut akan mengikuti latihan intensif di Guangzhou, China.

Pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, skuad lawan pedang negara menyumbang dua emas dan lima gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain