suria

Kekalahan Jaguh Sukan Negara Membimbangkan MSN - Zolkples

KUALA LUMPUR: Kekalahan jaguh sukan negara kepada lawan lebih muda agak membimbangkan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kekalahan jaguh sukan negara seperti (jaguh badminton) Datuk Lee Chong Wei dan terbaharu, (ratu skuasy) Datuk Nicol David amat membimbangkan kita (MSN). Mereka tewas kepada pemain lebih muda," kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara di MSN Bukit Jalil, dekat sini, Selasa.

Zolkples bagaimanapun mengakui kekalahan adalah lumrah yang harus dihadapi semua atlet termasuk jaguh sukan dunia yang lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata jurulatih Nicol, Liz Irving perlu menilai semula prestasi dan persediaan anak didiknya dalam menghadapi beberapa kejohanan selepas ini. "Faktor umur yang semakin meningkat juga sedikit sebanyak menjejaskan prestasi atlet terutama jika mengambil bahagian dalam banyak pertandingan. Mungkin juga aktiviti kempen bidaan bagi memasukkan skuasy dalam Sukan Olimpik 2020 mengganggu persediaan Nicol.

"Saya berharap Liz Irving akan mempertimbang bentuk program latihan dan jumlah kejohanan yang perlu disertai Nicol untuk tahun ini. Tumpuan perlu diberi kepada beberapa kejohanan utama dan lebih penting," kata Zolkples.

Sabtu lepas, Nicol tewas kepada Laura Massaro dari England pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2013, sekali gus menyekat peluangnya untuk merangkul kejuaraan itu buat kali kesembilan.

Mengenai keputusan Nicol untuk tidak mengambil bahagian dalam Kejohanan Skuasy Asia di Islamabad, Pakistan dari 1 hingga 5 Mei ini, Zolkples berkata pihaknya perlu mengkaji alasan Nicol.

Nicol dilapor berkata beliau tidak akan menyertai kejohanan itu atas sebab keselamatan dan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada Terbuka British dari 18 hingga 26 Mei. -BERNAMA

Artikel Lain