suria

Bambang Pamungkas Umum Persaraan Dari Skuad Indonesia

JAKARTA: Bekas ketua pasukan Indonesia, Bambang Pamungkas, yang pernah menyarung jersi Selangor dalam Liga Malaysia, telah mengumumkan persaraan selepas 13 tahun bersama skuad kebangsaan Indonesia.

Beliau berkata keputusan itu dibuat sehari sebelum perlawanan timbal balik antara Indonesia menentang Arab Saudi pada pusingan kelayakan Kumpulan C Piala Asia 2015, pada 23 Mac lepas.

Bambang, 32, yang menjaringkan 31 gol dalam 83 penampilan bersama skuad Indonesia, berkata beliau sudah memikirkan untuk bersara sejak pertandingan Piala AFF Suzuki 2012 di Malaysia, akhir tahun lepas.

"Pada masa itu, saya memutuskan bahawa acara Piala AFF 2012 akan menjadi penampilan rasmi terakhir saya, bersama pasukan kebangsaan Indonesia," katanya dalam tulisannya di laman web 'Sportsatu'.

Bambang juga bukan asing bagi sukan bola sepak Malaysia kerana pada tahun 2005, beliau bersama rakan senegara Elie Aiboy membantu Selangor merangkul tiga piala iaitu Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Di akhir tulisannya, Bambang telah memohon maaf kepada peminatnya kerana tidak mampu memberi gelaran juara berprestij kepada pasukan kebangsaan Indonesia. -BERNAMA

Artikel Lain